TAG META

Thursday, October 21, 2010

6. Kisah Pengalaman Hidup Sahabatku Seorang Anak Yatim



Salam sayang buat adik-adik sekalian,

Di sini Kak Fatim hendak menyampaikan satu surat dari seorang sahabat Kak Fatim yang menceritakan tentang penderitaan hidupnya sebagai seorang anak yatim. Surat ini telah dibacakan di hadapan pelajar-pelajar Kolej Komuniti Tasek Gelugor dan adik-adik angkat mereka yang terdiri daripada anak-anak yatim di bawah naungan Badan Amal Kebajikan NUN pada satu program Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim baru-bari ini. Diharap adik-adik sekalian mendapat iktibar dari kisah sedih ini. Antara lainnya Kak Fatim berharap adik-adik akan bersyukur dengan segala apa yang telah Allah SWT kurniaan kepada kita. Sesungguhnya keadaan hidup insan lain adalah lebih daif daripada kita dan ini tidak menghalang mereka semua untuk berjaya.


Buatmu Adik-adikku Yang Disayangi....

Assalamualaikum adikku yang disayangi… Maafkan akak kerana tak dapat hadir pada petang ini.. Akak teringin bertemu adik-adik yang terpilih sekalian, tapi mungkin tidak diizinkanNYA..Akak amanahkan pada sahabat akak untuk membacakan surat khas buat adik-adik sekalian.. akak sangat berharap adik-adik supaya dapat merasai semangat berkobar-kobar untuk berjaya seperti mana yang akak rasai.. sebab itulah akak menulis surat ini supaya akak dapat berkongsi semangat akak dengan adik-adik..

Wahai adikku sayang…

Dalam hidup ini kita cuma ada dua pilihan.. sama ada nak menjadi orang yang berjaya atau orang yang gagal. Kalau kita nak berjaya.. kita kena bersedia mental dan fizikal untuk bersusah payah dalam mengharungi cabaran hidup ni.. kejayaan adalah bagi mereka yang sanggup menangis dalam mendaki ke puncak tertinggi hidupnya.. kita kena jadi orang yang kuat..orang yang tabah.. orang yang rajin.. orang yang tak berputus asa…

Wahai adikku sayang…

Akak menulis surat ini kerana akak mahu berkongsi kisah hidup akak supaya adik-adik menjadi orang yang berjaya.. akak lahir di Kelantan.. akak anak yang ke tujuh dari 11 orang adik beradik.. keluarga akak hidup susah.. keluarga kami bertambah susah semenjak arwah ayah meninggal dunia.. ketika itu akak berada dalam darjah lima.. manakala adik bongsu akak baru empat bulan, masih kecil.. kasihan dia, tak berkesempatan merasai kasih sayang seorang ayah.. disebabkan hidup yang amat susah, emak akak telah menghantar akak dan abang akak ke rumah anak yatim..

pedih rasanya berpisah dari keluarga tersayang.. tambah sedih apabila kehadiran akak di rumah anak yatim tu tidak diterima oleh warga rumah anak yatim.. akak dilayan dengan buruk oleh kawan-kawan dan juga staf di situ.. akak dibuli dengan teruk oleh kawan-kawan akak.. setiap hari yang dilalui tersangatlah sakit..

setiap hari akak menangis dan akak tak tahu ke mana harus akak pergi.. akak terasa hilang tempat bergantung.. akak membenci tempat tersebut dan akak mula berusaha untuk keluar dari tempat tersebut.. ketika itu akak berusaha tak belajar supaya result teruk demi mengelakkan dibenci oleh kawan-kawan.. tetapi result akak tetap agak baik walaupun tak study.. akak tak tahu apa yang akak belajar di sekolah.. akhirnya akak telah merayu kepada emak akak untuk keluar dari rumah anak yatim tersebut. Emak akak sangat marah tetapi akhirnya membawa akak keluar dari ‘neraka’ kecil tersebut..

Untuk beberapa bulan akak tinggal di rumah tanpa bersekolah.. kehidupan yang miskin, anak-anak yang ramai dan menyara keluarga sendirian menyebabkan emak akak sangat tertekan.. akak selalu menjadi tempat emak akak melepaskan marah.. ketika itu akak cuma mampu menangis.. akak tertanya-tanya adakah keluarga kami akan terus berada dalam keadaan susah begini sehingga akak mati? Akak ingin sekali pergi menjengah ke dunia luar untuk melihat apa yang ada di luar sana.. akak ingin sekali membantu keluarga akak.. tetapi akak tak tahu bagaimana..

Apabila akak mula bersekolah di sebuah sekolah harian berhampiran rumah akak, akak berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.. akak mendapat semangat dari guru-guru akak.. ada seorang cikgu akak tu pernah kata yang

‘anak-anak petani, anak-anak nelayan.. pun boleh belajar dan berjaya melanjutkan pelajaran ke university.. ada yang pergi sambung belajar di luar negara..’

Akak sangat teruja dan bersemangat mendengar kata-kata cikgu tu.. Semenjak tu akak selalu berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat ke luar negara.. walaupun akak terasa seperti impian tu terlalu tinggi dan jauh, tetapi akak tak peduli..

Kehidupan yang miskin menyebabkan keluarga akak tidak mampu untuk memberi duit supaya akak dapat membeli buku pelajaran.. akak selalu dimarahi oleh abang-abang akak setiap kali akak meminta duit untuk membeli buku.. akak faham mengapa mereka marah, duit itu sedikit.. duit itulah juga yang akan kami adik beradik berkongsi untuk makan minum… rumah kami banyak tempat yang berlubang, bumbung yang bocor.. akak tak pernah membawa kawan-kawan pulang ke rumah akak.. sebab akak takut kawan-kawan akak tidak dapat menerima keadaan keluarga akak.. pada waktu malam, akak tidak boleh berjaga malam untuk belajar sebab mak kata kita kene jimatkan elektrik.. dan bila memasak, kami lebih selesa menggunakan dapur arang kayu untuk jimatkan gas..

Azam yang kuat.. tak berputus asa.. akak mahu menjadi orang yang berjaya.. biarlah tidak berharta.. biarlah tiada paras rupa.. tetapi bila kita berilmu, orang akan menghormati kita.. berkat usaha dan doa, akak mendapat keputusan 6A dalam PMR.. akak sangat-sangat gembira ketika itu.. Ketika borang MRSM keluar, akak tiada duit untuk membeli borang tersebut yang beharga RM10.. akhirnya akak tidak dapat masuk ke asrama.. tak mengapa, akak tak akan berputus asa.. mungkin memang tiada rezeki untuk akak ke asrama..

Ketika di tingkatan empat, akak merupakan pelajar pertama aliran sains tulen yang mengambil subjek akaun. Akak mendapat tentangan dari pihak sekolah ketika akak mengambil subjek akaun sebagai subjek tambahan tetapi akak tetap berusaha merayu supaya akak dapat mengambil akaun dalam SPM.

Syukur Alhamdulillah, akak berjaya dengan cemerlang dalam SPM.. dan paling gembira sebab akak dapat A dalam akaun..

Akak mendapat tawaran matrikulasi Perlis dan tingkatan enam.. jika akak masuk matrikulasi, akak mendapat tawaran aliran akaun.. tetapi keluarga akak tidak mampu menghantar akak ke sana.. kami tiada duit.. jika akak masuk tingkatan enam, akak mendapat tawaran sains tulen.. berbekalkan sedikit semangat dan keberanian, akak memberanikan diri mengembara ke negeri orang seorang diri.. dan akak masuklah matrikulasi Perlis… dalam bidang akaun..

Adikku yang disayangi…

Ketika di matrikulasi, akak mendapat biasiswa Rm1000 untuk akak gunakan selama 6 bulan di sana.. dan sungguh akak katakan yang duit itulah sahaja yang akak ada.. Akak sangat berjimat cermat hinggakan kalau akak beli biskut, akak akan kira berapa keping biskut yang akak boleh makan hari ni.. berapa keping yang akak boleh makan esok.. dan setelah duit akak habis, akak berpuasa.. akak tidak memberitahu kesusahan hidup yang akak alami ini pada kawan-kawan dan pada keluarga akak.. setiap kali kawan-kawan akak mengajak akak makan di luar atau pergi berjalan-jalan, akak akan memberi pelbagai alasan .. namun perkara yang sebenarnya ialah kerana akak tidak ada duit…

Biarlah.. akak datang dari jauh ke sini untuk belajar.. bukan untuk berhibur… biarlah semua ini menjadi rahsia.. asalkan dapat belajar pun akak dah bersyukur.. Terima kasih ya Allah….

Pada suatu hari, matrikulasi dilanda darurat ketiadaan air.. semua pelajar disuruh balik ke rumah.. masa tu akak terpaksa telefon abang akak dan memberitahu keadaan akak.. abang akak sangat marah sebab akak tidak memberitahu kesusahan yang akak alami pada dia awal-awal.. akak bukan suka-suka tak nak bagitau dia.. tetapi akak tahu, abang akak bekerja keras menyara adik beradik akak yang ramai.. mereka lebih memerlukan duit itu berbanding akak..

Wahai adikku sayang…

Tiga tahun yang lalu.. akak melangkahkan kaki ke USM sendirian.. sampai di USM, akak tak tahu mana satu tempat yang akak perlu pergi..orang lain datang bersama keluarga.. akak pula seorang diri mengangkat beg yang berat.. apa yang kelakar ialah, akak tersalah masuk asrama.. akak tersesat dalam asrama lelaki.. sampai sekarang akak tak boleh lupakan.. di USM, akak merupakan batch pertama mengambil bidang ‘International Business’.. dan akak meneruskan perjuangan yang akak dah mulakan.. iaitu untuk terus kuat walaupun sendirian..

Ketika akak di tahun akhir, akak dikehendaki belajar 6 bulan di luar negara.. dan kos pengajian itu perlu ditanggung oleh pelajar sendiri.. dimanalah akak nak cari duit?? Jika akak tidak keluar negara, akak tidak boleh menamatkan pengajian.. sedih.. akak tak tahu ke mana harus akak pergi.. akak tak tahu apa yang perlu akak buat.. akak terasa hidup ini terlalu perit dan sakit… emak akak kata akak tak perlulah habiskan pengajian akak.. biarlah tak ada ijazah pun takpe.. sayangnya cuma tinggal 6 bulan sahaja lagi untul tamat tetapi tergantung di tengah jalan..

Allah Maha Penyanyang… Dia tak pernah meninggalkan hambaNya yang sentiasa mengingatiNya.. masa tu hanya Allah tempat mengadu.. ketika itu akak ditemukan dengan seorang sahabat.. Keluarga sahabat inilah yang menanggung kos akak belajar di luar negara selama 1 semester.. Alhamdulillah..

Dan.. Alhamdulillah tanggal 15hb Ogos 2009 lepas akak telah berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa.. Alhamdulillah…

Wahai adikku sayang… Allah itu Maha Pengasih.. Maha Penyayang… Ingatlah supaya selalu jaga solat lima waktu sehari semalam dan jangan sekali-kali kita tinggalkan…Banyakkan berdoa kepada Allah.. Ingat Dia selalu… Walaupun kita rasa sesuatu tu mustahil, tetapi ingatlah Allah berkuasa menjadikan yang mustahil itu kenyataan.. sebab itu kita kena sentiasa dekat dengan Allah…

Wahai adikku sayang…

Akak sekarang dah bekerja.. akak bekerja dengan keluarga yang pernah membantu akak belajar dulu… kalau dulu semasa belajar, akak cuma akan balik ke rumah hanya bila cuti raya.. kini semenjak bekerja, setiap bulan akak akan balik ke rumah.. akak gembira dapat membantu emak dan adik-adik akak… akak gembira dapat membaiki rumah akak.. sekarang emak akak tak perlu bersusah payah keluar bekerja.. dah lama emak akak susah.. sekarang biarlah dia rehat.. dah sampai masanya akak pula bersusah untuk emak akak.. bahagianya rasa…

Wahai adikku sayang…

Kejayaan itu adalah bagi mereka yang sanggup menangis dalam mendaki ke puncak tertinggi hidupnya… akak doakan kejayaan adik-adik semua… semoga perkongsian akak ini dapat memberi semangat kepada adik-adik yang lain.. Amin…

Ikhlas dari,

Kak Romlah Daud, Kelantan Darul Naim

Thursday, October 14, 2010

5. Diriku Diganggu Bisikan Iblis Laknatullah


Salam sayang adik-adik sekalian , moga diri kalian di dalam lindungan Allah SWT daripada segala mala petaka dan gangguan syaitan.

Hati ini Kak Fatim nak bercerita tentang pengalaman sedih Kak Fatim semasa bersekolah di Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur. Sekolah Kak Fatim adalah sebuah sekolah yang terkenal di Malaysia. Sekolah ini dikategorikan dalam gred A pada ketika itu. Namun sekarang ini sekolah ini telahpun dipindahkan ke Putrajaya. Bangunan asalnya masih di situ tetapi ditukar namanya kepada nama lain yang hampir serupa dengan nama asalnya, namun Kak Fatim tidak dapat mengingati nama baru itu.

Baru-baru ini ketika kami berkumpul untuk reunion, Kak Fatim lalu di tepi sekolah berkenaan, perasaan sayu menusuk ke lubuk hati Kak Fatim. Kak Fatim terasa sedih, bukan kerana apa, cuma Kak Fatim teringatkan zaman-zaman kesedihan semasa Kak Fatim berada di sana. Seingat Kak Fatim, selama bersekolah di sana, hati Kak Fatim jarang merasa gembira. Kesedihan menyelubungi hidup Kak Fatim, perasaan rendah diri mengekang Kak Fatim dari menjadi seorang yang ceria. Selain itu, masalah yang paling besar semasa bersekolah di sana adalah... Kak Fatim menghadapi ujian yang sangat getir, tidak mampu dihadapi oleh orang dewasa sekalipun. Kak Fatim mengidap penyakit OCD. Obsessive Compulsive Disorder.

Tentu adik-adik sekalian berasa pelik memikirkan apakah jenis penyakit ini. Inilah penyakit yang paling teruk memngganggu seorang manusia. Sesiapa yang mengidapnya pasti kehilangan sebahagian besar kebahagiaan hidup di dunia. Ah, sedihnya rasa di hati untuk menceritakan hal ini.

Obsessive colpulsive disorder adalah penyakit gangguan syaitan di dalam jiwa pengidapnya yang kronik. Pesakit biasanya membuat sesuatu kerja berulang-ulang, tidak dapat fokus, tidak yakin, was-was dalam segala perbuatan terutamanya perihal ibadah. Hilang kepercayaan diri sendiri. Tidak yakin diri sendiri. Rendah diri. Sentiasa merasa dibenci dan lain-lain. Seingat Kak Fatim, sejak tingkatan satu Kak Fatim mengidap penyakit ini dan berterusan sehingga tahun-tahun selanjutnya. Kak Fatim tidak pernah bercerita kepada sesiapa. Penyakit itu sendiri menyebabkan pesakitnya menjadi seorang yang tidak yakin untuk menyatakan masalahnya pada orang lain. Takut. Malu dan suka menyendiri. Kak Fatim mengelamun sepanjang hari. Tetapi tiada siapa tahu tentang hal ini. Kak Fatim duduk di surau, memegang Al Quran. Membaca. Kemudian menutupnya semua. Kemudian membuka semula. Membaca sedikit. Kemudian menutup kembali. Seketika menangis. Kemudian mengambil wuduk, berkali-kali sehingga basah kuyup baju Kak Fatim.

Semua kawan-kawan sangkakan Kak Fatim seorang yang alim, mereka mengangkat Kak Fatim sebagai iman dan AJK Surau. Aktiviti agama mereka serahkan kepada Kak Fatim. Tetapi mereka tidak langsung mengetahui betapa peritnya hati Kak Fatim ketika itu..

Sekolah Kak Fatim adalah sebuah sekolah yang begitu tua. Terdapat bangunan lama dan pokok-pokok besar di situ. Gazebo adalah kawasan taman yang menggerunkan bagi Kak Fatim. Kak Fatim takut untuk memandang ke arah gazebo dan pohon besar yang terdapat di situ. Bangunan lama. Sungai di belakang sekolah. Ah, begitu menggerunkan.

Semakin lama Kak Fatim menyimpan di dalam hati perasaan yang terganggu itu, keadaan penyakit Kak Fatim menjadi semakin teruk. Pada peringkat awalnya Kak Fatim hanya merasa was-was sahaja, lama kelamaan Kak Fatim mula diganggu oleh bisikan-bisikan jahat di dalam hati. Bisikan-bisikan itu mengganggu Kak Fatim di setiap saat dan setiap masa, tidak kira di mana Kak Fatim berada. Kak Fatim menjadi begitu murung dan keliru. Kak Fatim tidak tahu apa yang hendak di buat. Kak Fatim berasa begitu malu hendak memberitahu kawan-kawan Kak Fatim. Akibatnya Kak Fatim menjadi seorang yang begitu serius, suka marah-marah dan kuat menangis. Kak Fatim menjadi begitu emosional.

Semakin teruk penyakit berkenaan, Kak Fatim mula mempersoalkan taqdir, kenapa Kak Fatim ditaqdirkan sakit begitu rupa, adakah Allah SWT sengaja mahu mentaqdirkan Kak Fatim jadi ahli neraka, adakah Kak Fatim masih Islam, adakah Allah sengaja menganiayai Kak Fatim. Kak Fatim menjadi begitu marah kepada Allah SWT. Di saat gangguan menjadi begitu teruk, Kak Fatim pernah berkata dan ketawakan diri Kak Fatim sendiri. Kak Fatim katakan bahawa Kak Fatim telah menjadi kafir, Allah tidak sayangkan kak Fatim, Allah tidak hirau penderitaan batin Kak Fatim dan lain-lain lagi.

Masih Kak Fatim ingat lagi, satu ketika Kak fatim memasuki tandas . Setelah menggunakannya tiba-tiba air tiada. Kak fatim mengetuk paip dengan marah. Kak Fatim berkata bahawa Allah sengaja menganiayai Kak Fatim. Kak Fatim memohon pada Allah dengan marah, jika air tidak keluar juga, Kak Fatim tidak mahu lagi mengiktiraf Allah sebagai pencipta Kak Fatim. Kak Fatim menganggap Allah tidak ada lagi. Alangkah teruknya penyakit Kak Fatim ketika itu. Kak Fatim menghadapinya setiap saat sehinggalah Kak Fatim tertidur. Apabila bangun tidur pula Kak Fatim terus teringatkan perkara itu semula.

Selain itu timbul pula bisikan-bisikan yang teruk mempersoalkan kejadian Allah SWT. Mempersoalkan kejadian manusia dan berbagai-bagai lagi. pada ketika itu, Kak Fatim sangka Kak Fatim tidak waras lagi. Kerana itulah Kak Fatim tidak pernah membuka mulut menyatakan apa yang sedang Kak Fatim hadapi. Kak Fatim takut semua kawan-kawan mengatakan Kak Fatim orang gila...

Namun, Kak Fatim masih ada keyakinan bahawa Allah nampak apa yang sedang berlaku di dalam diri Kak Fatim, setiap kali Kak Fatim berperang di dalam hati. Ketika keadaan perasaan sangat teruk , Kak Fatim berlari ke surau dan memeluk Al Qur'an sekuat-kuatnya dengan lelehan air mata. Ah, air mata ini mula mengalir mengingatkan kenangan itu.

Pada satu ketika di perhimpunan, pengetua sekolah Pn Wan Azizah Wan Mohd Salleh sedang berucap di pentas. Kak Fatim tidak terdengar langsung apa yang beliau katakan, Kak Fatim hampir pengsan melawan bisikan syaitan yang bertalu-talu bagaikan peluru menghujani bumi Palestin. Hampir Kak Fatim rebah ke tanah, namun perasaan malu menguatkan kaki Kak Fatim yang lemah.

Untung juga di sekolah Kak Fatim terdapat satu kumpulan pelajar Matrikulasi yang dimasukkan selama setahun sebelum mereka menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kebanyakan mereka terdiri daripada bakal pelajar Kursus Kedoktoran . Sebahagian besar kakak-kakak ini berasal dari Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS). Mereka warak dan alim. Kepada merekalah Kak Fatim banyak belajar doa dan latihan menjadi imam.

Pada satu hari, setelah sekian lama menderita, Kak Fatim memberanikan hati bertanya kepada mereka tentang masalah yang Kak Fatim hadapi. Inilah jawapan mereka,

"Fatimah, sebenarnya Fatimah tidak berseorangan menghadapi masalah ini. Ini adalah gangguan iblis. Ada kawan kami yang terkena lebih teruk. Dia berjalan melintasi gereja. Selepas hari tu, setiap kali dia solat, bayangan salib muncil di sejadahnya. Teruk juga dia nak berubat buang sihir itu.. " Kata Kakak matrikulasi itu.

Bertitik tolak dari cerita itu. Kak Fatim mula berasa bahawa Kak Fatim tidak keseorangan. Walaupun Kak Fatim masih menanggung penderitaan itu, namun Kak Fatim dapat buat kesimpulan bahawa kes Kak Fatim bukanlah kes terpencil. Masih ada orang yang bernasib sama seperti Kak Fatim.

Semakin hari Kak Fatim cuba melawan bisikan dengan membuka Al Quran setiap kali timbulnya persoalanan ketuhanan di hati Kak Fatim. Seolah-olah Allah SWT mula membuka jalan kepada Kak Fatim secara perlahan. Setiap kali Kak Fatim membuka Al Quran, Kak Fatim akan terbuka muka surat yang sama. Suran An Nur, ayat 35. Setiap hari Kak Fatim membaca surah itu. walaupun gangguan amat kuat, kak Fatim meneruskan bacaan surah itu termasuklah terjemahannya sekali. Dan air mata.. itulah peneman Kak Fatim yang setia..

Inilah terjemahan surahnya:

" Allah pemberi cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, seumpama lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita, pelita itu di dalam kaca. Kaca itu bagaikan bintang yang bercahaya. Di nyalai dengan minyaknya dari pohon zaitun yang banyak barakahnya. Yang tidak di timur dan tidak di barat. Minyaknya sahaja hampir menerangi walaupun tidak disinggung api. Cahaya di atas cahaya. Allah memberi cahaya pada sesiapa yang dikehendakinya. Allah memberi perumpamaan kepada umat manusia. Dan Allahlah yang maha mengetahui segala sesuatu." - Surah An Nur, ayat 35

" Mereka-mereka yang tidak beriman. Pekerjaan mereka bagaikan fatamorgana di padang pasir. Mereka yang dahaga menyangkakan ia adalah air. Sehinggalah mereka sampai kepadanya, mereka dapati tiada apa-apa. Akan tetapi mereka mendapati Allah bersama mereka , yang akan membalasi perbuatan mereka dengan api neraka. Dan Allah amat cepat dalam membuat perhitungannya."- Surah Annur, Ayat 39

"Atau keadaan mereka yang tidak beriman. Seumpama kegelapan di dalam lautan yang dalam. Di lapisi dengan gelombang demi gelombang, di atasnya terdapat awam yang gelap. Apabila lelaki itu mengunjurkan tangannya, dia hampir tidak dapat melihatnya. Kepada mereka yang Allah tidak berikan cahaya. Maka tiadalah cahaya untuknya ." Surah Annur , ayat 40.

Inilah ayat-ayat yang Kak Fatim baca saban hari apabila gangguan menjelma sehinggalah Kak Fatim menghafalnya. Seringkali apabila Kak Fatim membuka Al Quran, mukasurat inilah yang akan terbuka untuk Kak Fatim. Kak Fatim akan membacanya sebelum Kak Fatim membaca surah-surah lain. Kak Fatim amat faham apakah yang Allah mahu sampaikan kepada Kak Fatim daripada surah ini...

Ketika di penghujung tingkatan empat, sebuah surau baharu dibina di belakang asrama lama, tempat dorm Kak Fatim. Di surau itulah Kak Fatim ingat yang Kak Fatim sering membaca surah Annur dan mengambil wuduk sehingga basah baju sekolah. Kak Fatim sering merasakan bahawa wuduk Kak Fatim terbatal dan pergi mengambil wuduk semula.

Ketika Kak fatim di tingkatan 5, seorang ustazah baharu telah dihantar bertugas di sekolah Kak Fatim. Ustazah itu berkulit putih, kurus, memakai tudung labuh dan berjubah. Dia sering memakai jubah dan tudung berwarna coklat. Kak Fatim tidak ingat lagi namanya. Suatu hari Kak Fatim ternampak ustazah sedang bersembahyang zohor di surau, kebetulan ketika itu tidak ramai pelajar berada di surau. Kak Fatim memberanikan hati bertanya kepada ustazah perihal penyakit Kak Fatim. Namun, kak Fatim tidak berterus terang tentang kesemua masalah tersebut, Kak Fatim hanya bertanya soalan yang ringkas sahaja.

"Ustazah, kalau di dalam hati kita selalu diganggu oleh lintasan-lintasan dan bisikan syaitan, Bagaimana kita nak buat ya?"

Ustazah itu memberi jawapan yang begitu jelas dan tepat sekali seperti apa yang kak Fatim harapkan.

" Kalau sering datang bisikan-bisikan syaitan yang tidak sepatutnya, was-was dan mempertikaikan hal-hal berkaitan tauhid, kita kena lawan, jangan layan. Setiap kali terlintas sahaja, bacalah:

"Amantu billah, warasulillah. Maknanya -aku beriman dengan Allah dan rasulNya." jawab ustazah itu.

Sejak hari itu Kak Fatim terus mengamalkan tip yang diberi oleh ustazah berkenaan. Selang beberapa hari selepas itu, ganggunan bisikan syaitan semakin kurang. Kak Fatim bersungguh-sungguh melawan dengan mengamalkan zikir itu. Alhamdulillah, penyakit itu akhirnya hilang begitu sahaja. Kak Fatim ingat sebelum peperiksaan SPM, Kak Fatim telah bebas sama sekali dari penyakit itu..

Malangnya, tidak berapa lama sebelum peperiksaan, Kak Fatim perasan yang teman sebelah meja Kak Fatim sering mendengus dan mengamuk. dia menjadi semakin kasar dan suka menampar bahu Kak Fatim. Disebabkan saiznya yang besar, penamparnya itu bukan main sakit lagi. Dia menjadi begitu emosional dan sering mengamuk. Sehinggalah kami berpisah selepas mengambil peperiksaan SPM. Tidak lama selepas kami berpisah, Kak Fatim terbaca dari sebuah majalah. Di bahagian ruangan bicara pembaca, seseorang menceritakan kes yang seakan-akan kes yang Kak Fatim alami. Di dalam warkah kepada kolumnis majalah tersebut, beliau menyatakan kesedihan hatinya kerana menghadapi gangguan perasaan yang teruk ketika hampir peperiksaan SPM. Gangguan itu membisikkan agar dia merasa bangga diri dan menyatakan bahawa dialah yang terbaik dari semua orang. Ketika beliau menjadi makmum, beliau mempertikaikan imam solat berkenaan tetapi bila beliau menjadi iman, beliau merasakan beliaulah yang terbaik. Selain itu beliau juga diganggu oleh bisikan yang seakan sama dengan Kak Fatim. Setelah melihat nama penulisnya, Kak Fatim terkejut besar apabila mendapati bahawa penulisnya adalah jiran sebelah meja Kak Fatim. Mungkinkah iblis berkenaan telah berpindah dari Kak Fatim kepada beliau?

Apa yang ingin Kak Fatim ulaskan di sini adalah bahawa adik-adik harus mensykuri nikmat 'Lailahaillallah Muhammad Rasulullah" . Inilah perkara yang paling mahal sekali di bumi ini. Bukan harta dan wang ringgit. Apa yang terkena kepada Kak Fatim ada natijahnya. Kak Fatim begitu menghargai nikmat iman yang Allah beri sekarang ini . Kak Fatim telah merasai keadaan di mana Kak Fatim amat berharap tetapi tidak mampu mendapatkannya. Kerana seperti firman Allah SWT, jika sekiranya Allah tidak memberi cahaya keimanan kepada seseorang, maka dia tidak akan memperoleh cahaya buat selamanya. Hidupnya akan kelam seperti kelamnya hidup yang Kak Fatim pernah rasakan. Tiada siapa dapat membantu tanpa izin dari Allah SWT.

Janganlah berasa ' tidak mengapa, aku Islam dan aku beriman' semata-mata. Ini kerana tanpa usaha ke atas iman, maka tidak mustahil kita akan mecundang. Selain itu, jangan sekali-kali putus asa dengan rahmat Allah SWT kerana Allah bertindak sebagaimana yang disangkaan oleh makhluknya. Apabila kita ikhlas berusaha dan berdoa, walaupun pada mulanya kita begitu teruk dan merasa marah dengan Allah SWT, lambat laun kita akan tertolong juga kerana sesunggunhya Allah lebih memang tahu apakah keinginan dan harapan yang berada di hati kita.

Kepada sahabat SSPian yang terbaca cerita ini, inilah hakikat yang kawan-kawan tidak ketahui selama ini. Dan kepada iwanqais, kesakitan yang anda tanggung sebenarnya telah saya rasai dan bersabar dan berusahalah. Sesungguhnya Allah itu tiada kan mempersia-siakan hamba-hambaNya.









Tuesday, October 12, 2010

4. Penyesalan Tetamu Allah SWT


Salam Zulkaedah semua dan selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan haji bagi yang telah sampai masanya..

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit dengan satu pengalaman yang aneh, berlaku kepada Kak Fatim lewat 14 tahun yang lalu. Setiap kali Kak Fatim melihat umat Islam menunaikan haji, ingatan tentang peristiwa itu sering terimbau kembali. Perasaan Kak Fatim kadang kala terasa pelik dan kadang kala terasa menyesal apabila mengenangkannya. Ceritanya begini:

Pada penghujung tahun 1997, Kak Fatim menemani ibu ke Mekah bagi menunaikan umrah. Selain dari umrah, Kak Fatim juga berziarah di beberapa negara lain seperti Istanbul dan Dubai. Umur Kak Fatim ketika itu baharu menjangkau 24 tahun. Kak Fatim adalah peserta rombongan umrah yang kedua termuda ketika itu. Terdapat seorang lagi kanak-kanak bersama mengikuti rombongan kami.

Kak Fatim berziarah di Istanbul dan Dubai dahulu dan pada 10 hari terakhir rombongan kami di bawa ke Madinah dan Mekah. Semasa di Mekah, Kak Fatim ditempatkan di sebuah hotel berdekatan dengan Masjidil Haram. Jadinya, Kak Fatim tidak menghadapi masalah untuk berulang-alik ke Masjidil Haram. Di hotel inilah bermulanya cerita Kak Fatim.

Setiap kali Kak Fatim dan penghuni sebilik pulang dari masjidil haram, Kak Fatim dapati mereka sering membeli serbuk inai yang dijual di kaki lima kedai di sepanjang jalan menuju ke hotel kami. Semasa di bilik, mereka sibuk mengenakan inai berkenaan. Kak Fatim melihat sahaja kerana memang sejak dari kecil, Kak Fatim kurang berminat mengenakan inai di jari Kak Fatim. Pada suatu malam, kawan sebilik Kak Fatim bertanya,

"Fatimah tak beli inai ke? Kak tengok Fatimah tak beli langsung, kami sibuk beli inai. Tak nak cuba ke? Cantik tau?"

Kak Fatim hanya tersenyun dan membalas,

" Inai Mekah tak cantiklah kak. Inai Malaysia lagi merah, lagi terang, lagi cantik. Inai Mekah oren je.." Itulah balasan Kak Fatim dengan selamba.

Kira-kira 2 atau 3 hari sebelum kami pulang ke Malaysia., secara tiba-tiba timbul keinginan kak Fatim untuk membeli inai itu. Entah kenapa, Kak Fatim rasa teringin sangat. Sedangkan sebelum ini Kak Fatim langsung tidak berminat dengan inai itu. Kak Fatim pun merancang untuk membeli sedikit untuk di bawa pulang ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Haram, Kak Fatim ternampak ramai orang perempuan berkulit hitam berpurdah menjual inai di kaki lima kedai. Kak Fatim pun merancang untuk membeli semasa pulang dari masjid mengerjakan tawaf. Selesai mengerjakan tawaf dan sai, kak Fatim pun keluar dari masjid menuju ke hotel. Hairan, langsung tiada seorang pun penjual inai di sepanjang jalan itu. Sedangkan tadinya begitu ramai..

Kak Fatim meneruskan perjalanan menuju ke restoran yang menyediakan makanan kepada jemaah kami, alhamdulillah, terdapat seorang perempuan penjual inai di situ. Kak Fatim pun masuk ke dalam dan menjamu selera. Kak Fatim merancang untuk membelinya sesudah keluar dari restoran. Sesudah makan, Kak Fatim bergegas keluar mencarinya. Pelik, perempuan itu hilang begitu sahaja. 'Ah, mungkin dia sudah pulang. Kenapalah aku tak beli siap-siap tadi..."getus hati Kak Fatim.

Dengan langkah yang lemah Kak Fatim pun pulang ke hotel. Sepanjang jalan hinggalah ke tangga hotel, tiada kelihatan seorangpun penjual inai. Kak Fatim pun naik ke atas melepaskan lelah. Sambil itu Kak Fatim menjenguk keluar tingkap bilik hotel. Eh, ada penjual inai di luar puntu hotel, macam mana Kak Fatim boleh tidak perasan tadi??

Apalagi, Kak Fatim pun bergegas turun ke bawah secepat mungkin, mahu mengejar penjual inai itu. Sesampai di tangga hotel, perempuan itu tiada. Tiada!! Melilau mata Kak Fatim mencarinya. ajaib, sungguh ajaib. Dia telah hilang dalam sekelip mata...

Malam itu Kak Fatim keletihan dan mengadu kepada rakan sebilik Kak Fatim. Mereka semua kehairanan seraya berkata,

"Peliknya, kan ramai orang jual inai sepanjang jalan. Macam mana Fatimah boleh tak nampak? Yang pakai purdah dan berpakaian hitam duduk bersila dengan talam inai tu, penjual inailah tu.."

Ah, Kak Fatim yakin Allah SWT dah hijab pandangan Kak Fatim dari penjual inai, disebabkan luahan kata dari mulut Kak Fatim yang begitu celupar. Bukankah Kak Fatim ini tetamu Allah SWT. Tidak patut seorang tetamu mengeluarkan kenyataan begitu bukan?? Kak Fatim sungguh menyesal. Akhirnya Kak Fatim tidak dapat membeli inai sehinggalah pulang ke Malaysia.

Walaupun kisah ini kelihatan mudah dan remeh, namun bagi yang mahu mengambil ibrah, mereka tidak perlu kepada sesuatu yang sangat aneh, nyata dan hebat untuk mengambil pengajaran bahawa Allah mahu menyampaikan sesuatu kepada kita. Ya, Allah SWT sayangkan hambanya, dia mahu kita berfikir tentang apa yang kita lakukan seharian, apa yang kita rancangkan, apa keputusan yang kita ambil dan apa yang Dia taqdirkan bagi kita dan kita sepatutnya merenung sesuatu itu dan mengambil ibrah bahawa di sebalik apa yang berlaku itu, Allah SWT mahu menyampaikan sesuatu...

Friday, October 8, 2010

3. Kisah Pengalaman Hidup Pelajarku - Pertama


Salam semua,

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit tentang pengalaman hidup salah seorang pelajar Kak Fatim. Kisah ini Kak Fatim dapat dari sesi pengenalan diri untuk kelas Pembangunan Diri di Kolej Komuniti tempat Kak Fatim bekerja sebelum Kak Fatim dipindahkan ke Kolej Komuniti sekarang. Sebenarnya ada banyak kisah yang boleh dijadikan iktibar, tentang pelajar kita dan sikap anak muda dewasa kini. Ada kalanya kita kurang faham kenapa mereka mengambil tindakan yang memedihkan hati kita. Kita mudah marah dan menganggap negatif kepada pelajar yang bermasalah. Namun jika sekiranya kita bersabar sedikit dan menunaikan hak mendengar, Insya Allah, Allah akan memberi kita kefahaman tentang sikap manusia dan memberi jalan untuk kita menangani setiap masalah. Sebenarnya bukan mudah untuk melentur buluh, terutamanya yang terbiar tumbuh tanpa penjagaan sempurna semasa rebungnya.

Haikal (bukan nama sebenar) seorang pemuda berdarah campuran Arab Melayu yang kacak yang boleh dikategorikan sebagai besar ragam. Anak muda ini berpeluang menyambung pelajaran di Kolej Komuniti di dalam satu bidang yang diminatinya. Beginilah ceritanya kepada Kak Fatim dan rakan sekelasnya yang menyebabkan kami terlopong sehingga tidak berkedip mata mendengarnya.

" Kejadian ini bermula ketika saya tamat menduduki peperiksaan SPM di sekolah saya. Semasa menunggu keputusan SPM, saya memohon pekerjaan di salah sebuah hypermarket berdekatan rumah saya. Tujuan asalnya adalah untuk menambah pengalaman dan mencari sedikit wang saku serta mengisi masa yang terluang. Saya memohon pekerjaan di situ bersama seorang rakan karib saya yang berasal dari sekolah yang sama.

Pada peringkat awal pekerjaan, segalanya berlalu dalam keadaan baik, namun setelah beberapa kali menerima wang gaji, kami mula berpaling arah dan keluar pada setiap malam, kononnya untuk menghilangkan kebosanan. Dengan wang gaji berkenaan, kami mengunjungi pusat-pusat hiburan, berpeleseran dan melakuan perbagai perbuatan yang menyalahi norma hidup seorang muslim.

Saya dan kawan mula mengunjungi kelab-kelab malam, pusat karaoke dan menghabiskan wang dengan melanggan perempuan-perempuan gro. Arak menjadi minuman ruji kami di sana. Kami langsung tidak merasa bersalah dan berdosa. Usia muda kami rasakan satu bonus untuk kami lakukan apa sahaja yang kami suka. Dalam keadaan mabuk, kami pulang dengan menunggang motosikal. Banyak kali berlaku di mana ketika saya menunggang motosikal, saya hilang ingatan dan apabila sedar, saya dapati saya berada di dalam longkang, melanggar tong sampah dan sebagainya, betapa hinanya saya pada ketika itu. Wang gaji yang diterima 2 minggu sekali dihabiskan untuk memperbaiki motosikal saya yang asyik rosak akibat kemalangan. Namun, Alhamdulillah, kemalangan itu tidak sampai menyebabkan saya masuk ke wad. Mungkin Allah masih sayang pada saya. Kawan-kawan di tempat kerja selalu marahkan saya dan hairan dengan keadaan motosikal yang asyik rosak itu.

Sehingga pada satu hari di bulan Ramadhan, ibu menggesa saya ke masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Ibu sebenarnya perasan akan keadaan saya yang berubah dan sering meninggalkan suruhan agama. Setelah puas dipujuk, saya akhirnya mengalah dan pergi juga ke masjid. Di pertengahan antara solat terawikh terdapat tazkirah. Ustaz yang dijemput menyampaikan tazkirah memperingati jemaah tentang kehidupan yang singkat dan kelalaian manusia menyedari hakikat kehidupan ini. Entah mengapa saya berasa begitu sedih sekali dengan tazkirah itu sehingga menitiskan air mata. Saya terfikir, sampai bilakah saya akan berterusan mensia-siakan hidup begini.

Namun resam anak muda, bila diajak keluar oleh kawan karib, sukar untuk mengelak diri. Lagi pula selepas tazkirah itu, tiada siapa yang terus membimbing. Saya teruskan aktiviti malam yang penuh lagho itu atas nama persahabatan.

Pada suatu hari, saya dan kawan karib berpeleseran di sekitan Persiaran Gurney. Hari sudah lewat malam. Dalam perjalanan pulang, kawan saya melakukan aksi merbahaya iaitu mengangkat tayar hadapan motorsikal di atas jalan berkenaan. Kebiasaan dia melakukan aksi ini tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, kali ini nasibnya malang. Mungkin ketentuan Allah sudah tiba. Motosikal yang ditunggangginya itu terangkat tinggi dan menyebabkan dia terjatuh ke atas jalan dan dihempap oleh motosikalnya sendiri. Saya yang berada di belakang terus memberhentikan motosikal. Keadaannya sangat teruk. Kepalanya pacah dan mengeluarkan isi tengkoraknya. Darah menyimbah penuh di atas jalan. Dia mengelupur lalu mati di hadapan mata saya. Tidak dapat di bayangkan perasaan saya ketika itu...

Paginya saya kerumah kawan saya itu untuk menantikan jenazahnya diuruskan sebelum dikebumikan. Di situlah saya mengalami sesuatu yang benar-benar memberi pengajaran kepada saya. Sudahlah kepedihan ditinggalkan rakan karib membungkam di dalam hati, berbagai masalah pula timbul. Jenazah sangat sukar diuruskan kerana ketiadaan orang untuk menguruskannya sehinggalah masa pengebumian menjadi begitu lewat. Tanah kubur yang dikorek digenangi air sehingga kami terpaksa berpindah di banyak tempat. Akhirnya setelah berjaya dikorek, orang ramai pun mula mengangkat jenazah kawan saya.

Baharu sahaja hendak keluar rumah, cuaca menjadi gelap secara tiba-tiba dan hujan turun cukup lebat. Kami menagguhkan perjalanan ke perkuburan. Namun, oleh kerana keadaan cuaca tidak menunjukkan tanda untuk reda, orang kampung menghantar juga ke tanah perkuburan dalam keadaan basah kuyup. Saya tidak ketinggalan mengikut sama. Sampai di tanah perkuburan, kami menurunkan jenazah ke dalam lubang yang digenangi air itu. Kami langsung menimbuskan jenazah di dalam hujan yang renyai-renyai itu. Semasa menimbus itulah, kesemua kami terdengar suara lembu di sembelih, betul-betul dari dalam kubur kawan karib saya. Kami berpandangan sesama sendiri dan melihat sekeliling kalau-kalau ada lembu di persekitaran, namun tiada yang kelihatan. Raungan itu begitu panjang dan penuh siksa. Masya Allah, saya tidak akan dapat melupakan saat itu.

Kini saya mencari sinar baru di Kolej Komuniti. Saya amat berharap agar perubahan diri saya ini kekal dan bertambah baik dari masa ke semasa. Mudah-mudahan kawan-kawan dapat menerima saya dan membantu ". Ujar beliau. Kami yang mendengar terlopong tidak bersuara. Sehinggalah tiba-tiba salah seorang pelajar lain mencelah, "Kalau dia tak cerita hari ini, kami pun tak tahu ini berlaku padanya".

Inilah kisah pelajar Kak Fatim yang kakak harap pembaca sekalian mengambil iktibar ke atasnya.

Tuesday, October 5, 2010

2. Mati Hidup Semula (UNTUK KAUM WANITA SHJ)

Gambar anak bongsu kak Fatim, Wafa Nur Sabrina (kiri), bersama kakaknya Ummu Hanie.

Salam semua,

Hari ini Kak Fatim nak ceritakan pengalaman yang benar-benar tidak dapat Kak Fatim lupakan dan benar-benar memberi pengajaran kepada Kak Fatim.

Kisah ini berlaku pada 7 tahun yang lalu (tahun 2002). Ketika itu Kak Fatim sedang mengandungkan anak bongsu Kak Fatim. Kak Fatim sedang bekerja di Politeknik Seberang Perai dan sambung belajar dalam cuti semester di Maktab Perguruan Teknik, Cheras.

Ketika kandungan Kak Fatim dah masuk 28 minggu, Kak Fatim diarahkan menyambung belajar untuk semester kedua di maktab. Ketika itu baharu saja habis cuti Hari Raya Puasa. Kak Fatim rasa berat nak pergi ke maktab kerana baru raya ke empat. Tambahan pula terpaksa tinggalkan suami dan anak yang kecil-kecil. Sedih betul dibuatnya.

Semasa Kak Fatim naik bas ke KL, Kak Fatim ditemani oleh adik perempuan Kak Fatim yang kebetulan bekerja di KL juga. Kami naik bas Keris Liner dari Kulim. Semasa bas bergerak, jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Kak Fatim ingat Kak Fatim memakai baju sejuk kerana cuaca begitu sejuk. Anak-anak Kak Fatim kalut nak ikut sama, jenuh juga suami Kak Fatim mengepung mereka.

Semasa dalam perjalanan, Kak Fatim tidak dapat melelapkan mata, Kak Fatim terasa gayat kerana bas bergerak terhoyong-hayang sedangkan adik Kak Fatim telah lama dibuai mimpi.

Lebih kurang pukul 3.00 pagi, Kak Fatim terlelap. Rasanya tak sampai 10 minit Kak Fatim terlelap, Kak Fatim terdengar jeritan. Sebaik-sahaja Kak Fatim membuka mata, Kak Fatim lihat orang ramai dalam keadaan kelam kabut. Bas terasa seperti terbang dan terkeluar dari laluannya dan melanggar divider dan kemudian terseret ke tepi jalan. Berdentum dentam bunyai bas itu. Semua orang memekik dalam bas. Sedar-sedar bas berhenti... senget dan.. dum! Terbalik. Bas masuk ke longkang!!!

Kak Fatim terhempas di atas adik Kak Fatim dan di terperosok di tepi dinding. Kesian betul dia..

Dalam panik-panik tu, kami berdua cepat-cepat bangun. Malang. Pintu bas sekarang berada di atas. Macammana kami nak panjat? Kami mendapat satu akal, tingkap di sisi kami yang retak seribu tu kami hentak-hentak dengan beg, biar pecah berderai. Kami berdua merangkak keluar melalui lubang sempit yang kami buat itu. Ingatan yang menerjah ketika itu adalah sangat menakutkan. Kak Fatim membayangkan kami tak sempat keluar kerana bas meletup. Alhamdulillah, kami berjaya keluar dan bas tidak meletup.

Kami lihat diluar, kedudukan kami betul-betul dipapan tanda Bukit Beruntung, nyaris tidak melanggar papan tanda yang besar tu, kalau terlanggar, nauzubillah, boleh dibayangkan betapa teruk keadaan kami semua. Tambah mengejutkan lagi, tidak sampai 100 meter di depan adalah gaung yang cukup dalam, siap ada tasik di dalamnya.

Kak Fatim hubungi suami dan kami membuat laporan polis tentang kemalangan itu. Selain itu Kak Fatim juga pergi periksa kandungan Kak Fatim yang dah hampir 30 minggu tu, kata doktor semuanya okay.

Kak Fatim sangka semua sudah tamat, tetapi sebenarnya ia adalah permulaan kepada penderitaan yang begitu panjang!!!

Masuk 8 bulan, kandungan kak Fatim mula menunjukkan tanda-tanda akan bersalin, sedangkan masanya belum cukup. Sakitnya seperti hendak bersalin sehingga Kak Fatim tak boleh bangun. Setiap kali Kak Fatim bangun, Kak Fatim terpaksa duduk semula. Kandungan Kak Fatim terlalu rendah. Kak Fatim rasa lenguh seluruh bahagian perut, kadang kala rasa macam contraction. Tambah malang, ketika itu suami Kak Fatim tidak ada di sisi kerana satu urusan. Hanya ibu mertua yang ada.

Sakit Kak Fatim semakin teruk dan akhirnya terpaksa dibawa ke klinik bersalin. Kata doktor Kak Fatim premature contraction. Doktor beri cuti sehingga seminggu, di sambung pula dengan cuti raya cina . Akibatnya, Kak Fatim tidak pergi bekerja dalam tempoh yang sangat lama. Kak Fatim duduk berbaring di rumah sahaja. Sakit Kak Fatim ditambah degan demam selsema dan batuk yang teruk. Setiap kali batuk setiap kalilah kandungan terasa seperti hendak terkeluar.

Kiranya hampir sebulan Kak Fatim menanggung sakit yang teruk tu akhirnya tibalah saatnya Kak Fatim hampir bersalin. Alhamdulillah suami ada di sisi pada ketika itu.

Pagi tu tibalah saatnya Kak Fatim hampir bersalin. Kebiasaannya Kak Fatim kalau dah hampir bersalin, tidak dapat berjalan. Suamilah yang membantu Kak Fatim. Kak Fatim terlebih dahulu di bawa berjumpa mak bidan terkenal di situ. Inilah kata-kata mak bidan tu, Kak Fatim teringat sehingga ke saat ini.

" Tak pa aihh, Tok Yah pelorong bagi cek beranak senang sikit. Nanti beranak tak sakit dah".

Kata mak bidan tu sambil menuruh Kak Fatim menelan sirih jampi. Ya allah, rasanya. Macam nak tersembur balik, namun di saat tu, Kak Fatim gagahi juga. Habis sesi tu, Kak Fatim di bawa ke Dewan bersalin Muslimah di Taman Arowana, Permatang Pauh. Sampai saja di situ, Kak Fatim di bawa masuk ke bilik bersalin.

Di sinilah bermula cerita sedih Kak Fatim...

Selepas diperiksa Doktor mengatakan bahawa kandungan dah terbuka 4 cm. Maknanya dah saat kelahiran dah hampir bermula. Tapi Kak Fatim tak rasa apa-apa. Sudah tidak sakit lagi. Sakit tempohari sudah hilang.

Kami menunggu begitu lama. doktor menasihati suami Kak Fatim supaya mendudukkan Kak Fatim secara bersandar supaya kandungan Kak Fatim mudah keluar. Tetapi Kak Fatim tetap tidak merasa apa-apa.

Doktor mula menyuntik ubat contraction dalam air yang dialir masuk ke dalam badan Kak Fatim. 1 ml. Kemudian 2 ml. Tiada apa-apa berlaku. Kemudian 3 ml... 4 ml.. 5 ml. Menurut doktor kebiasaannya 5 ml pesakit dah contraction tahap yang kuat. Akan tetapi Kak Fatim tidak berasa apa-apa...

Seterusnya doktor menyuntik lagi.. 6ml..7ml...8ml...9ml...10ml..11ml Kak Fatim tidak dapat ingat sampai berapa ml tetapi jumlahnya sangat merunsingkan doktor.

"Push..Fatimah, push.. you dah boleh bersalin.. dah nampak rambut budak" kata doktor.

Terperanjat kita dengar kata-kata doktor. Dah nampak rambut budak? Macammana nak push kalau tak rasa apa-apa???

Doktor mencari jalan dengan menekan bahagian rectum, ketika itu barulah Kak Fatim terasa seperti hendak meneran, tetapi bila alat itu diangkat, rasa berkenaan hilang begitu sahaja.

Agak lama juga doktor menunggu, jenuh segala ayat Kak Fatim baca bersama-sama doktor. Suami Kak Fatim semakin resah. Dia keluar dari bilik bersalin dan menunaikan sembahyang hajat.

Sekonyong-konyong barulah terasa seperti hendak bersalin. Sakit sangat, tetapi tidak cukup untuk push bayi Kak Fatim keluar. Kak Fatim tidak ada cukup tenaga. Kak Fatim menangis-nangis pada doktor supaya membuat pembedahan kepada Kak Fatim.

" You boleh buat fatimah, you tarik nafas, push. Tarik nafas, push. Anak you dah nak keluar. Nanti kalau lama sangat dia lemas. Kesian anak you Fatimah"

Ketika itu, hanya air matalah yang mentafsir segalanya. Sakit tak dapat dikata lagi penangan ubat melebihi dos tu.

" Fatimah, kami nak vakum, dah lambat sangat dah ni. Ok kami pasang alat ni, sekali kami kata push. You kena push sehabis daya you. Kalau you tak buat juga anak you akan mati lemas". Itulah kata-kata muktamad doktor.

Alat vakum dipasang. Kak Fatim menarik nafas dalam-dalam dengan air mata merambu keluar.

Ketika itulah mereka menberi arahan...PUSH...

Kak Fatim meneran sehabis daya.

Tiba-tiba ingatan Kak Fatim hilang...

Kak Fatim terdengar suara orang begitu jauh. Kak Fatim nampak orang begitu jauh. Kak Fatim seolah-olah berada di atas, diawangan, melihat doktor di bawah, begitu jauh...

Kak Fatim terdengar bunyi suara bayi menagis. Kak Fatim terdengar orang mentalkinkan 'Laila ha illallah Muhammad Rasulullah' berulang kali. Kak Fatim hanya bisa menyebut Allah, Allah di dalam hati, bukannya 'Laila haillallah Muhammad Rasulullah"....

Di dalam hati.. bukannya dibibir...

Ketika saat itu Kak Fatim menyatakan pada diri: Aku telah kembali...

Alangkah sedihnya, tanpa kalimah itu di akhir kalam. Bagaimanakah nasibku nanti di sana..

Beberapa saat selepas itu, pipi Kak Fatim ditampar.

" Fatimah, bangun. Dia buat lupa dah, dia buat lupa. Ingat Allah Fatimah... nanti syaitan masuk..ingat Allah Fatimah. Jangan buat macam ni Fatimah, jangan buat macam ni".

Doktor menampar pipi Kak Fatim beberapa kali. Kak Fatim terasa tubuh Kak Fatim dihinggut. Agak lama baharulah Kak Fatim sedar. Doktor memberi bayi kepada Kak Fatim tetapi Kak Fatim menolak kerana terlalu letih.

Ya, Kak Fatim telah pergi atau sekurang-kurangnya roh Kak Fatim telah keluar di kala Kak Fatim masih terjaga..

Dan yang paling memilukan, Kak Fatim tidak dapat mengucap kalimah 'Lailaha illallah Muhammad Rasulullah' pada ketika itu...

Kak Fatim bukan perempuan jahat, tidak pernah ingin membuat jahat, tidak lalai dengan suruhan Allah SWT, tidak meninggalkan ibadah, tidak suka hiburan yang melalaikan...

Tetapi rupa-rupanya, itu semua tidak cukup untuk mengizinkan Kak Fatim mengucap 2 kalimah syahadah...Di saat yang genting itu tiada satu kuasa yang dapat membantu kita mengucap 2 kalimah syahadah, kecuali keizinan Allah SWT.

Dan keizinan itu dapat kita perolehi dengan satu usaha.

Iaitu dengan menzikirkan kalimah itu dibibir di setiap saat dalam hidup kita, dan menanamkannya di dalam hati kita. Apa yang kita bawa di sepanjang hidup kita, itulah yang akan keluar di akhir kalam kita...

Bagaimana kita boleh berzikir jika setiap saat jika hidup kita dilimpahi hiburan, setiap saat hati kita melagukan irama yang kita dengar dicorong-corong radio.

" Sesiapa yang mengucapkan kalimah Allah di akhir kalam maka wajiblah syurga ke atasnya"..

Di saat serebrum kita tidak lagi dapat mengawal pemikiran kita. Hanya bahagian otak yang menjaga bahagian yang lazim dapat membantu kita. Maka kita isikanlah bahagian itu dengan kalimahNya.

Ambillah iktibar dari cerita ini duhai adikku, janganlah kita berasa terlalu yakin anda dapat melepasi peperiksaan yang amat dahsyat ini sehingga menyebabkan kita menjadi lalai...

Monday, October 4, 2010

1. Hikmah Ditimpa Sakit


Salam adik-adik semua yang dikasihi,

Kak Fatim teringat kisah yang berlaku tahun lepas. Mungkin boleh diambil pengajaran untuk adik-adik jadikan iktibar. Ceritanya Kak Fatim ditimpa sakit. Sakit itu tidaklah teruk sangat sehingga terlantar, namun hakikatnya memang susah nak bangun. Setiap kali nak bangun terpaksalah berpegang ke birai katil, dinding atau apa-apa sahaja yang dapat menyokong Kak Fatim bangun. Bila nak jalan pula, terhencot-hencot. Sangat sukar sekali. Lama Kak Fatim mengidap penyakit tu, hampir 2 tahun. Setiap kali Kak Fatim bangun, Kak Fatim rasa macam berpijak di atas belakang pisau. Bayangkan...

Asalnya sakit tumit, sahaja. Lepas tu menjangkit ke pergelangan kaki dan lagi teruk, sampai ke betis. Rasa macam urat disentap dan ditarik. Jenuh Kak Fatim berurut, urut tradisional, urut sendiri. Kadang-kadang bila sakit sangat, Kak Fatim berbaring dan minta abang Ariffin urutkan tapak kaki. Tahu sajalah tangan orang lelaki, lagi urut lagi sakit.

Kak Fatim pergi ke klinik. doktor kata kKak Fatim mengidap masalah tulang timbul. Tulang berlebihan timbul di tapak kaki akibat berat badan yang berlebihan. Cara rawatannya menurut doktor, kena pakai kasut lembut atau masukkan insole dalam kasut. Atau cara satu lagi, buat pembedahan, potong tulang tu!!!

Kak Fatim rasa begitu kecewa mendengar kata-kata doktor. Kak Fatim terfikir, pertamanya Kak Fatim bukanlah kategori gemuk. Malah orang yang gemuk pun tak kena sakit begitu. Keduanya, tidak ada cara lain lagikah yang lebih mudah. Insole kak Fatim beli, tapi tak sesuai bila dimasukkan ke dalam kasut. Tetap sakit juga. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Kak Fatim ketika sakit tu. Rasa macam nak kecewa pun ada, putus asa pun ada. Kerja rumah habis Kak Fatim bagi abang Ariffin uruskan. Kak Fatim cuma buat kerja yang tidak perlu berdiri sahaja.

Masa keadaan bertambah teruk, Kak Fatim merintih kepada Yang Maha Pencipta akan perihal Kak Fatim yang lemah ini. Kak Fatim yakin Allah mengetahui apa yang berlaku pada Kak Fatim. Kak Fatim tahu Allah beri sakit kerana Allah sayang Kak Fatim, maka Allah nak uji sejauh mana kesabaran hambanyaNya.

Kak Fatim bukannya tidak sabar. Kak Fatim mohon sembuh kerana komitmen kerja dan tanggung jawab sebagai guru, isteri, ibu, menantu, anak dan lain-lain yang begitu banyak telah terjejas akibat penyakit ini. Kak Fatim berjanji pada Allah SWT akan berbuat seberapa banyak kerja amal dan kebaikan yang boleh. Kak Fatim juga memohon Allah SWT membuka seberapa banyak peluang untuk Kak Fatim membuat seberapa banyak kebajikan.

Dan kemudiannya adik-adik, permohonan Kak Fatim telah dimakbul Tuhan..

Kak Fatim diberi ilham untuk berubat dengan 2 jenis ubat yang memdapat jaminan sembuh di sisi Allah SWT. Penyembuhannya ada terdapat di dalam hadith dan AlQuran. Kak Fatim beramal dengan perubatan Sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Berpaksikan kepada keyakinan terhadap hadith Nabi Muhammad SAW. Kak Fatim yakin penuh dengan janji-janji Allah dan RasulNya. Kak Fatim amalkan tiap-tiap pagi air suam yang dicampur satu sudu madu lebah dan satu sudu teh cuka kurma. Sebelum meminumnya, Kak Fatim terlebih dahulu memasukkan sesudu minyak habbatus sauda ke dalam mulut dan minum bersama campuran berkenaan. Kak Fatim juga tidak lupa membaca basmalah dan selawat ke atas nabi.

Setelah mengamalkannya selam dua bulan tanpa henti, penyakit Kak Fatim sembuh sepenuhnya.

Ajaib bukan?? Sesungguhnya setiap ujian penyakit itu datangnya dari Allah dan hanya Allah mampu menyembuhkannya. Kita hanya mampu berusaha. Kita juga diperintahkan meyakini Kalamullah dan beramal dengan Sunnah Rasulullah. Kita tahu semua itu. Namun sangat sedikit di kalangan kita yang ambil peduli. Apabila diberi sakit, maka kita akan ingat.

Jelas kata ulama:

"Sesungguhnya kesihatan itu umpama mahkota di atas kepala orang yang sihat.
Yang hanya boleh dilihat oleh orang yang sakit".