TAG META

Wednesday, November 17, 2010

Kisah Sedih Daku dan Ibu Mertuaku


Salam semua, terima kasih kerana bagi komen yang memberi semangat untuk saya menulis. Salam Aidil Adha juga buat semua.

Inilah kisah sedih tentang ibu mertua saya yang menderita sehingga akhirnya sayapun terlibat sama dalam konflik senyap yang berlaku di antara mereka (anak-anaknya).

Benarlah pepatah, seorang ibu boleh menjaga sepuluh anaknya, tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibunya. Apatah lagi yang telah tua dan sakit. Tidak lagi dapat mengurus diri sendiri. Berak kencing pun sudah tidak dapat dirasa lagi (no signal) sehingga terpaksa dipakaikan lampin pakai buang. Bau badan yang busuk akibat ubat kimia yang dimakan., pening muntahnya…. Inilah yang menguji kecintaan yang ada di dalam hati anak-anaknya, seperti yang sering diluahkan dibibir mereka.

Ibu mertua saya telah 70 tahun meniti hidup di dunia ini dengan jerih payah yang tidak pernah memberi ruang kepadanya untuk menghala nafas kelegaan di dalam hidupnya. Dari kehidupan yang miskin. Bersuamikan seorang lelaki pemarah yang sering menjadikan dirinya tempat melepaskan geram. Suami yang tidak tahu menyimpan wang sehingga wang lump-sum pencen langsung tidak bersisa.

Seawal 5-6 pagi menorah getah. Setelah siap menoreh, ibu menyapu kebun getah dengan harga upah 10 sen selorong, tengahari pulang memasak nasi untuk makan anak-anaknya, petang menumbuk mengkuang dan malam menyanyam mengkuang yang telah kering untuk dijadikan tikar dan dijual. Duit dikumpul untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah sehinggalah ke asrama. Anak-anaknya adalah kebanggaan dirinya yang tidak mempunyai apa-apa untuk dibanggakan. Hartanya hanyalah sebuah rumah kecil dan sebidang tanah pusaka yang dikongsi hak beramai-ramai. Dengan usaha empat keratnya itulah dia menyekolahkan anak-anaknya, membiayai mereka ke maktab perguruan sehingga mereka bergelar pendidik kini.

Maka anak-anak itu tumbuh membesar dan berjaya kecuali seorang yang agak nakal dan bermasalah. Sering ponteng sekolah, melepak dihutan mengkuang, mencuri timun milik pekebun cina, mencuri ayam dan lain-lain. Anak inilah yang banyak memberi masalah, tidak terkawal, dibenci ayahnya, dipukul saban hari dengan tali pinggang sehingga berbirat-birat belakangnya sehingga pernah dihalau keluar dari rumah. Namun berkat mujahadah, nasihat dan doa kasih seorang ibu. Anak ini akhirnya membuka perniagaan sendiri. Bengkel motosikal tempat dia menampung hidupnya. Dia inilah insan yang saya kasihi, dialah suami saya.

Kini ayah telah lama pergi dan ibu kelihatan sedang menghitung hari…

Keadaan sakitnya amat membimbangkan kami sekeluarga. Sejak keluar hospital sehingga kini, dia sangat sukar bangun dan perlu dipakaikan lampin pakai buang. Ubat-ubatan adalah peneman meneruskan saki-baki hidupnya.

Sejak keluar hospital kira-kira tiga minggu lepas sehingga kini, hanya 4 atau 5 hari saya dapat tidur di sisi suami. Selainnya, beliau memberi khidmat sepenuh kasih kepada ibunya siang dan malam. Pernah suami saya balik tidak sampai ½ jam dan pergi semula, khuatir ibu jatuh ke lantai ketika ke bilik air. Wajah suami tidak pernah ceria dan kelihatan murung. Sejak keluar hospital, telah 2 kali ibu tersemban di hadapan mata beliau. Sejak ibu sakit, kami sekeluarga benar-benar terasa kehilangannya. Anak terasa kehilangan ayah. Isteri terasa kehilangan suami.

Sebenarnya bukanlah ini kali pertama ibu sakit. Ibu sakit memang kerap sangat dan banyak kali kami mengorbankan masa bersamanya intuk memberi ruang kepada ibu tercinta. Sebagai seorang isteri, memanglah saya terasa sangat pilu, namun saya kuatkan hati kerana saya fahami kedudukan seorang isteri kepada suami berbanding kedudukan ibunya. Syurga suami saya adalah bila mana ibunya meredainya, dan jika saya mengatakan saya cinta padanya..maka saya harus mengorbankan ruang saya untuk keselesaan ibunya. Tapi bagaimana dengan anak-anak? Yang masih kecil dan sangat memerlukan ayahnya. Terutamanya yang bongsu di dalam darjah satu. Mulut petahnya itu begitu kuat berleter tentang ketiadaan ayahnya dan dia asyik menunggu-nunggu. Inilah yang sering menyebabkan hati saya sedih.

Persoalanannya, di manakah anak-anaknya yang terdidik dan bergelar pendidik di saat ibu sangat memerlukan?

Saya tidak menafikan yang mereka datang menziarahi, meletak kuih-muih dan pergi. Tetapi apa yang seorang ibu tua perlukan ketika ini adalah lebih dari itu. Luangkanlah masa untuk memberi ubat kerana dia tidak mampu memegang dan membuka plastik ubat kerana tangannya sering kali menggigil dan matanya kekaburan. Apatah lagi insan ini tidak pernah mengenal huruf di dalam hidupnya, bagaimana mungkin diketahui ubat mana yang perlu diambilnya? Luangkanlah masa untuk mengurut kakinya yang sejuk, memakaikan lampin, berbual-bual dan apa-apa sahaja yang dapat menghiburkan hatinya yang sepi. Bayangkanlah ibu ini hanya berbaring dan membolak balikkan tubuhnya sepanjang hari ke kiri dan ke kanan dengan air mata yang sering berlinangan sepanjang hari. Tiada apa lagi dihatinya kecuali hadirnya anak yang tidak kunjung tiba.

Kehadiran suami saya yang memberi khidmat saban hari sukar menghilangkan sedih di hati. Kenapa? Lumrah hidup di dunia, di mana sahaja kita akan mendengar perkara yang sama. Yang diharapkan hadir hanyalah orang yang lain. Bukan yang sering dilihat olehnya dan yang menguruskan dirinya saban hari. Namun itu tidak menghilangkan semangat dan kasih sayang suami saya kepada ibunya. Kami pernah berhasrat untuk membawa ibu pulang ke rumah dan tinggal bersama kami namun ibu menolak, katanya dia lebih selesa tinggal di rumahnya sendiri dan dia khuatir anak-anak lain akan terasa hati. Begitulah pentingnya hati anak-anak kepada seorang ibu walaupun di saat beliau sakit dan ditinggalkan.

Apa yang menyebabkan saya terlibat dengan kes ini adalah kerana abang ipar saya yang sulung langsung tidak menjenguk sejak ibu dikeluarkan dari hospital. Ibu juga sangat sukar senyum dan air mata sering bergenang. Kami memang mengetahui punca ibu tidak bercakap kerana ibu menunjukkan reaksi yang sama sepanjang masa. Jika dia kelihatan ceria, cubalah selidiki. Pasti jawapannya adalah… abang sulong datang menziarahi. Ini tidak menhairankan kerana saya sering juga terdengar perkara yang sama berlaku kepada orang tua yang lain. Hanya anak yang sama ditunggu. Hanya anak itu yang diharap belaian kasih. Hanya anak itu pengubat kecewa. Dan anak itu jugalah mempunyai beribu alasan untuk tidak hadir di sisi.

Sehinggalah beberapa hari yang lepas, suami saya mula berleter tentang ketidak hadiran abang sulong. Saya telah beberapa kali menyuruh suami mencadangkan agar giliran teman ibu tidur malam diajukan kepada mereka. Namun suami saya keberatan kerana menurutnya, beliau seorang adik, mereka lebih berpendidikan tinggi dan tidak perlu diajar lagi. Malah beliau pernah meminta abang yang kedua menolong tengokkan ibunya kerana dia perlu berurusan di satu tempat. Inilah jawapan abang kedua,

“Ini arahan ke ni?”

Sejak itu suami saya malas meminta tolong lagi. Katanya, sangat susah meminta tolong orang-orang yang bijak.

Suatu ketika (beberapa tahun yang lepas) ketika ibu dibedah matanya, suami saya pernah mengamuk kerana mereka meletakkan ibu tidur di dapur dan meninggalkan ibu teraba-raba ke bilik air diwaktu malam sedangkan mereka tidur lena dibilik atas. Kerana amukan itu suami saya dituduh tidak berhikmah, hongkiang dan buat kacau di rumah orang (ketika itu mereka tinggal di rumah ibu –rumah yang ibu tinggal sekarang . Sejak 2 tahun yang lepas mereka telah keluar berpindah dan meniggalkan rumah ibu dalam keadaan usang dan uzur. Suamilah yang mencuci, membuat renovasi dan membina bilik baru beserta bilik air untuk ibu kerana ibu berhasrat untuk pulang semula ke rumahnya dan tidak mahu tinggal lagi di pondok pengajian).

Setelah sekian lama keadaan berterusan begini tanpa ada satu usaha mana-mana pihak untuk mengubah kepada yang lebih baik, maka saya bersuara.

“Biar saya sahaja yang beritahu mereka, biar saya yang mesej mereka”.

“ Buatlah. Sebelum saya yang buat. Saya tak reti cakap. Cara saya senang je…”

Risau juga kalau suami mengamuk lagi. Saya pun mengirim mesej,

Beginilah mesej saya:

“ Salam (abang sulong) sekeluarga. Selamat hari raya Aidil Adha. Kami akan pulang ke kampung tengah hari esok. Pagi esok kami di rumah mak. Saya amat harap (abang sulong) boleh take over tengok mak sampai kami balik. Meaning kena teman tidur di rumah mak. Mak sangat susah nak bangun dan pakai pampers. Sangat mujahadah nak jaga mak. Sejak mak keluar hospital, hanya 4 hari (suami) tidur di rumah kami, selain itu dia tidur di rumah mak. Ada hari yang saya jumpa (suami) tak sampai ½ jam. Kesian kat anak-anak tak sempat nak bermanja dengan ayah mereka. Saya minta maaf. Saya rasa tak patut jadi macam ni sebab mak ada 3 orang nak lelaki. Patut ada sistem giliran untuk jaga mak kerana mak tidak boleh lagi ditinggalkan sebab dia boleh jatuh anytime. Mohon fahami perasaan sy, harap maaf”.

Inilah balasan yang saya terima setelah saya kirim mesej kepada abang sulung dan foward kepada abang yang kedua.

“Sangat paham. Puluh tahun dulu pun (abang sulong) jaga kami. Syukurlah kami jadi cam ni. Nak balik xpa. Syukur dapat jaga mak satahun dua? SALAM AIDIL ADHA. MOGA USAHA SIRAHMATI ALLAH. HAMDALLAH”.

(note: Abang sulong pernah jaga suami ketika dia dihalau keluar olah ayah. Dan abang sulong pernah mengungkit bantuan yang diberikan itu semasa suami mengamuk mereka tidak menjaga ibu. Hasrat mereka yang saya fahami adalah mereka mahu suami jaga ibu dan mereka boleh datang ketika berkesempatan sahaja sebagai balasan mereka menjaga suami pada satu ketika dahulu).

Inilah balasan saya:

“Terima kasih kerana memahami. Mak sangat mengharap ada orang disisi tiap-tiap malam dan dia langsung tidak senyum pagi tadi kerana (suami) kena migrain semalam dan tak de sapa teman dia tidur semalam. Kami boleh terus jaga mak macam ni tapi kena ada back up incase anything happen to (suami). Saat ini seorang ibu sangat mengharapkan belai kasih anaknya terutamanya yang sangat diharapkan hadir tetapi tidak dapat hadir. Apa-apa yang berlaku berpuluh tahun dahulu tidak dapat menjadi alasan untuk tidak hadir dan tidak dapat mengubati hati ibu yang kecewa. Tq

Inilah balasan abang kedua kepada saya. Abang sulung langsung tidak membalas mesej yang saya hantar sehingga ke hari ini.

“INDEED. BUT PLS DON’T CLAIM IN SUCH A MANNER. IMPOLITE. RESPECT IS TO GIVE AN TAKE. NIGHT”.

Selepas itu saya tidak membalas lagi kerana sekiranya saya balas saya pasti akan menjadi lebih impolite dan lebih irrespect kepada abang-abang bertuah ini dan saya lebih menghormati untuk menjaga hubungan daripada meneruskan usaha untuk menegakkan yang benar. Saya pulangkan masalah ini pada suami saya dan saya tidak mahu masuk campur lagi. Saya akan jaga ibu sehingga akhir hayatnya kerana inilah peluang yang Allah SWT sebenarnya beri pada kami. Saya beritahu pada diri bahawa saya tidak perlu menegakkan keadilan walaupun sebagaimana seksa pun hati kami sekeluarga kerana bagi sesetengah orang, respek kepada mereka adalah paling penting walaupun pihak yang mengadu dan memohon bantuan telah teruk menanggung beban. Saya telah melakukan kesilapan kerana ‘tidak menghormati mereka’ dan sepatutnya saya tidak perlu pun menghantar mesej kepada mereka kerana bak kata orang sekarang ‘sendiri mau ingat’..

Terima kasih kepada tuan dan puan-puan yang sanggup mendengar dan berkongsi kesedihan hati saya dan ambillah iktibar jika kiranya ada mesej bernilai di dalam pengalaman hidup ini kerana setiap kita pasti akan menghadapi hari tua pada suatu hari nanti…

Wednesday, November 10, 2010

Kanak-kanak Pun Ada Kifarah Dosa


Salam adik-adik semua,

Ini adalah kisah benar yang terjadi semasa Kak Fatim kecil-kecil dahulu. Kisah ini terjadi kepada adik Kak Fatim. Tetapi Kak Fatim masih dapat ingat dengan jelas keadaan yang berlaku itu. Pulang dari sekolah pada hari tu, Kak Fatim, abang dan kakak dikejutkan dengan berita yang adik Kak Fatim diserang harimau. Alangkah terkejutnya kami bertiga, lantas berlari melihat adik kak Fatim yang terbaring di dalam bilik. Kelihatan tangannya berbalut. Dia sedang menagis tersedu-sedu.

Kami bertiga kehairanan. Apa tidaknya, setakat pengetahuan kami, tidak pernah seekorpun harimau tersesat ke kampung kami, apatah lagi nak menyerang manusia. kampung kami itu bukanlah dalam hutan. Malah rumah Kak Fatim berhadapan dengan jalan raya yang agak sibuk.

Akhirnya emak Kak Fatim membuka rahsia. Begini ceritanya:

Ketika itu musim durian. Kebetulan di sekeliling rumah kak Fatim terdapat banyak pokok-pokok durian yang menunggu masa untuk menggugurkan buahnya. Pagi itu sedang emak Kak Fatim sibuk membuat kerja, tiba-tiba terdengarlah bunyi durian gugur di tepi rumah. Disebabkan kekalutan, emak Kak Fatim pun menyuruh adik turun mengambil buah durian itu. Adik Kak Fatim yang sedang leka bermain (waktu itu masih kecil, baru berumur 6 tahun) mulalah merungut-rungut dan memberi alasan. Inilah yang dikatakannya,

"Mana ada bunyi durian, tak dengar pun".

" Ada. Tadi mak dengar. Hang pi tengok", kata mak Kak Fatim. Dengan marah-marah adik Kak Fatim pun melangkah mahu melihat buah yang gugur.

"Kalau tak ada...cek bunuh mak". Itulah kalimat yang keluar dari adik kak Fatim, seorang kanak-kanak yang tidak faham pun apa yang diperkatakannya.

Benarlah bahawa apabila kita melawan orang tua kita, balasannya ada sejak di dunia lagi..

Sampai saja di bawah pokok durian itu, adik Kak Fatim terus mengambil buah yang gugur itu. Belumpun sempat dia mengangkat buah durian itu, sebiji lagi buah durian gugur di atas tangannya sehingga menyebabkan tangannya terhimpit duri di atas dan di bawah. Apalagi meraunglah adik Kak Fatim ketika itu juga.

Kecederaan adik Kak Fatim agak serius di tangannya sebab dikedua-dua bahagian tangannya (depan dan belakang) luka-luka akibat tercucuk duri durian itu. Bayangkanlah buah yang gugur dengan kelajuan graviti itu mencederakan tangan. Syukur juga tidak terkena kepala, jika tidak mungkin dia mengalami kecederaan yang cukup teruk.

Itulah cerita tentang bagaimana budak kecil juga ada kifarat dosa jika bersikap kasar dengar ibunya. Namun kini adik Kak Fatim sudah dewasa dan berkeluarga sendiri. Beliau di kalangan ahli keluarga kami yang berjaya dan berjawatan tinggi.