TAG META

Tuesday, October 12, 2010

4. Penyesalan Tetamu Allah SWT


Salam Zulkaedah semua dan selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan haji bagi yang telah sampai masanya..

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit dengan satu pengalaman yang aneh, berlaku kepada Kak Fatim lewat 14 tahun yang lalu. Setiap kali Kak Fatim melihat umat Islam menunaikan haji, ingatan tentang peristiwa itu sering terimbau kembali. Perasaan Kak Fatim kadang kala terasa pelik dan kadang kala terasa menyesal apabila mengenangkannya. Ceritanya begini:

Pada penghujung tahun 1997, Kak Fatim menemani ibu ke Mekah bagi menunaikan umrah. Selain dari umrah, Kak Fatim juga berziarah di beberapa negara lain seperti Istanbul dan Dubai. Umur Kak Fatim ketika itu baharu menjangkau 24 tahun. Kak Fatim adalah peserta rombongan umrah yang kedua termuda ketika itu. Terdapat seorang lagi kanak-kanak bersama mengikuti rombongan kami.

Kak Fatim berziarah di Istanbul dan Dubai dahulu dan pada 10 hari terakhir rombongan kami di bawa ke Madinah dan Mekah. Semasa di Mekah, Kak Fatim ditempatkan di sebuah hotel berdekatan dengan Masjidil Haram. Jadinya, Kak Fatim tidak menghadapi masalah untuk berulang-alik ke Masjidil Haram. Di hotel inilah bermulanya cerita Kak Fatim.

Setiap kali Kak Fatim dan penghuni sebilik pulang dari masjidil haram, Kak Fatim dapati mereka sering membeli serbuk inai yang dijual di kaki lima kedai di sepanjang jalan menuju ke hotel kami. Semasa di bilik, mereka sibuk mengenakan inai berkenaan. Kak Fatim melihat sahaja kerana memang sejak dari kecil, Kak Fatim kurang berminat mengenakan inai di jari Kak Fatim. Pada suatu malam, kawan sebilik Kak Fatim bertanya,

"Fatimah tak beli inai ke? Kak tengok Fatimah tak beli langsung, kami sibuk beli inai. Tak nak cuba ke? Cantik tau?"

Kak Fatim hanya tersenyun dan membalas,

" Inai Mekah tak cantiklah kak. Inai Malaysia lagi merah, lagi terang, lagi cantik. Inai Mekah oren je.." Itulah balasan Kak Fatim dengan selamba.

Kira-kira 2 atau 3 hari sebelum kami pulang ke Malaysia., secara tiba-tiba timbul keinginan kak Fatim untuk membeli inai itu. Entah kenapa, Kak Fatim rasa teringin sangat. Sedangkan sebelum ini Kak Fatim langsung tidak berminat dengan inai itu. Kak Fatim pun merancang untuk membeli sedikit untuk di bawa pulang ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Haram, Kak Fatim ternampak ramai orang perempuan berkulit hitam berpurdah menjual inai di kaki lima kedai. Kak Fatim pun merancang untuk membeli semasa pulang dari masjid mengerjakan tawaf. Selesai mengerjakan tawaf dan sai, kak Fatim pun keluar dari masjid menuju ke hotel. Hairan, langsung tiada seorang pun penjual inai di sepanjang jalan itu. Sedangkan tadinya begitu ramai..

Kak Fatim meneruskan perjalanan menuju ke restoran yang menyediakan makanan kepada jemaah kami, alhamdulillah, terdapat seorang perempuan penjual inai di situ. Kak Fatim pun masuk ke dalam dan menjamu selera. Kak Fatim merancang untuk membelinya sesudah keluar dari restoran. Sesudah makan, Kak Fatim bergegas keluar mencarinya. Pelik, perempuan itu hilang begitu sahaja. 'Ah, mungkin dia sudah pulang. Kenapalah aku tak beli siap-siap tadi..."getus hati Kak Fatim.

Dengan langkah yang lemah Kak Fatim pun pulang ke hotel. Sepanjang jalan hinggalah ke tangga hotel, tiada kelihatan seorangpun penjual inai. Kak Fatim pun naik ke atas melepaskan lelah. Sambil itu Kak Fatim menjenguk keluar tingkap bilik hotel. Eh, ada penjual inai di luar puntu hotel, macam mana Kak Fatim boleh tidak perasan tadi??

Apalagi, Kak Fatim pun bergegas turun ke bawah secepat mungkin, mahu mengejar penjual inai itu. Sesampai di tangga hotel, perempuan itu tiada. Tiada!! Melilau mata Kak Fatim mencarinya. ajaib, sungguh ajaib. Dia telah hilang dalam sekelip mata...

Malam itu Kak Fatim keletihan dan mengadu kepada rakan sebilik Kak Fatim. Mereka semua kehairanan seraya berkata,

"Peliknya, kan ramai orang jual inai sepanjang jalan. Macam mana Fatimah boleh tak nampak? Yang pakai purdah dan berpakaian hitam duduk bersila dengan talam inai tu, penjual inailah tu.."

Ah, Kak Fatim yakin Allah SWT dah hijab pandangan Kak Fatim dari penjual inai, disebabkan luahan kata dari mulut Kak Fatim yang begitu celupar. Bukankah Kak Fatim ini tetamu Allah SWT. Tidak patut seorang tetamu mengeluarkan kenyataan begitu bukan?? Kak Fatim sungguh menyesal. Akhirnya Kak Fatim tidak dapat membeli inai sehinggalah pulang ke Malaysia.

Walaupun kisah ini kelihatan mudah dan remeh, namun bagi yang mahu mengambil ibrah, mereka tidak perlu kepada sesuatu yang sangat aneh, nyata dan hebat untuk mengambil pengajaran bahawa Allah mahu menyampaikan sesuatu kepada kita. Ya, Allah SWT sayangkan hambanya, dia mahu kita berfikir tentang apa yang kita lakukan seharian, apa yang kita rancangkan, apa keputusan yang kita ambil dan apa yang Dia taqdirkan bagi kita dan kita sepatutnya merenung sesuatu itu dan mengambil ibrah bahawa di sebalik apa yang berlaku itu, Allah SWT mahu menyampaikan sesuatu...

Friday, October 8, 2010

3. Kisah Pengalaman Hidup Pelajarku - Pertama


Salam semua,

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit tentang pengalaman hidup salah seorang pelajar Kak Fatim. Kisah ini Kak Fatim dapat dari sesi pengenalan diri untuk kelas Pembangunan Diri di Kolej Komuniti tempat Kak Fatim bekerja sebelum Kak Fatim dipindahkan ke Kolej Komuniti sekarang. Sebenarnya ada banyak kisah yang boleh dijadikan iktibar, tentang pelajar kita dan sikap anak muda dewasa kini. Ada kalanya kita kurang faham kenapa mereka mengambil tindakan yang memedihkan hati kita. Kita mudah marah dan menganggap negatif kepada pelajar yang bermasalah. Namun jika sekiranya kita bersabar sedikit dan menunaikan hak mendengar, Insya Allah, Allah akan memberi kita kefahaman tentang sikap manusia dan memberi jalan untuk kita menangani setiap masalah. Sebenarnya bukan mudah untuk melentur buluh, terutamanya yang terbiar tumbuh tanpa penjagaan sempurna semasa rebungnya.

Haikal (bukan nama sebenar) seorang pemuda berdarah campuran Arab Melayu yang kacak yang boleh dikategorikan sebagai besar ragam. Anak muda ini berpeluang menyambung pelajaran di Kolej Komuniti di dalam satu bidang yang diminatinya. Beginilah ceritanya kepada Kak Fatim dan rakan sekelasnya yang menyebabkan kami terlopong sehingga tidak berkedip mata mendengarnya.

" Kejadian ini bermula ketika saya tamat menduduki peperiksaan SPM di sekolah saya. Semasa menunggu keputusan SPM, saya memohon pekerjaan di salah sebuah hypermarket berdekatan rumah saya. Tujuan asalnya adalah untuk menambah pengalaman dan mencari sedikit wang saku serta mengisi masa yang terluang. Saya memohon pekerjaan di situ bersama seorang rakan karib saya yang berasal dari sekolah yang sama.

Pada peringkat awal pekerjaan, segalanya berlalu dalam keadaan baik, namun setelah beberapa kali menerima wang gaji, kami mula berpaling arah dan keluar pada setiap malam, kononnya untuk menghilangkan kebosanan. Dengan wang gaji berkenaan, kami mengunjungi pusat-pusat hiburan, berpeleseran dan melakuan perbagai perbuatan yang menyalahi norma hidup seorang muslim.

Saya dan kawan mula mengunjungi kelab-kelab malam, pusat karaoke dan menghabiskan wang dengan melanggan perempuan-perempuan gro. Arak menjadi minuman ruji kami di sana. Kami langsung tidak merasa bersalah dan berdosa. Usia muda kami rasakan satu bonus untuk kami lakukan apa sahaja yang kami suka. Dalam keadaan mabuk, kami pulang dengan menunggang motosikal. Banyak kali berlaku di mana ketika saya menunggang motosikal, saya hilang ingatan dan apabila sedar, saya dapati saya berada di dalam longkang, melanggar tong sampah dan sebagainya, betapa hinanya saya pada ketika itu. Wang gaji yang diterima 2 minggu sekali dihabiskan untuk memperbaiki motosikal saya yang asyik rosak akibat kemalangan. Namun, Alhamdulillah, kemalangan itu tidak sampai menyebabkan saya masuk ke wad. Mungkin Allah masih sayang pada saya. Kawan-kawan di tempat kerja selalu marahkan saya dan hairan dengan keadaan motosikal yang asyik rosak itu.

Sehingga pada satu hari di bulan Ramadhan, ibu menggesa saya ke masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Ibu sebenarnya perasan akan keadaan saya yang berubah dan sering meninggalkan suruhan agama. Setelah puas dipujuk, saya akhirnya mengalah dan pergi juga ke masjid. Di pertengahan antara solat terawikh terdapat tazkirah. Ustaz yang dijemput menyampaikan tazkirah memperingati jemaah tentang kehidupan yang singkat dan kelalaian manusia menyedari hakikat kehidupan ini. Entah mengapa saya berasa begitu sedih sekali dengan tazkirah itu sehingga menitiskan air mata. Saya terfikir, sampai bilakah saya akan berterusan mensia-siakan hidup begini.

Namun resam anak muda, bila diajak keluar oleh kawan karib, sukar untuk mengelak diri. Lagi pula selepas tazkirah itu, tiada siapa yang terus membimbing. Saya teruskan aktiviti malam yang penuh lagho itu atas nama persahabatan.

Pada suatu hari, saya dan kawan karib berpeleseran di sekitan Persiaran Gurney. Hari sudah lewat malam. Dalam perjalanan pulang, kawan saya melakukan aksi merbahaya iaitu mengangkat tayar hadapan motorsikal di atas jalan berkenaan. Kebiasaan dia melakukan aksi ini tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, kali ini nasibnya malang. Mungkin ketentuan Allah sudah tiba. Motosikal yang ditunggangginya itu terangkat tinggi dan menyebabkan dia terjatuh ke atas jalan dan dihempap oleh motosikalnya sendiri. Saya yang berada di belakang terus memberhentikan motosikal. Keadaannya sangat teruk. Kepalanya pacah dan mengeluarkan isi tengkoraknya. Darah menyimbah penuh di atas jalan. Dia mengelupur lalu mati di hadapan mata saya. Tidak dapat di bayangkan perasaan saya ketika itu...

Paginya saya kerumah kawan saya itu untuk menantikan jenazahnya diuruskan sebelum dikebumikan. Di situlah saya mengalami sesuatu yang benar-benar memberi pengajaran kepada saya. Sudahlah kepedihan ditinggalkan rakan karib membungkam di dalam hati, berbagai masalah pula timbul. Jenazah sangat sukar diuruskan kerana ketiadaan orang untuk menguruskannya sehinggalah masa pengebumian menjadi begitu lewat. Tanah kubur yang dikorek digenangi air sehingga kami terpaksa berpindah di banyak tempat. Akhirnya setelah berjaya dikorek, orang ramai pun mula mengangkat jenazah kawan saya.

Baharu sahaja hendak keluar rumah, cuaca menjadi gelap secara tiba-tiba dan hujan turun cukup lebat. Kami menagguhkan perjalanan ke perkuburan. Namun, oleh kerana keadaan cuaca tidak menunjukkan tanda untuk reda, orang kampung menghantar juga ke tanah perkuburan dalam keadaan basah kuyup. Saya tidak ketinggalan mengikut sama. Sampai di tanah perkuburan, kami menurunkan jenazah ke dalam lubang yang digenangi air itu. Kami langsung menimbuskan jenazah di dalam hujan yang renyai-renyai itu. Semasa menimbus itulah, kesemua kami terdengar suara lembu di sembelih, betul-betul dari dalam kubur kawan karib saya. Kami berpandangan sesama sendiri dan melihat sekeliling kalau-kalau ada lembu di persekitaran, namun tiada yang kelihatan. Raungan itu begitu panjang dan penuh siksa. Masya Allah, saya tidak akan dapat melupakan saat itu.

Kini saya mencari sinar baru di Kolej Komuniti. Saya amat berharap agar perubahan diri saya ini kekal dan bertambah baik dari masa ke semasa. Mudah-mudahan kawan-kawan dapat menerima saya dan membantu ". Ujar beliau. Kami yang mendengar terlopong tidak bersuara. Sehinggalah tiba-tiba salah seorang pelajar lain mencelah, "Kalau dia tak cerita hari ini, kami pun tak tahu ini berlaku padanya".

Inilah kisah pelajar Kak Fatim yang kakak harap pembaca sekalian mengambil iktibar ke atasnya.

Tuesday, October 5, 2010

2. Mati Hidup Semula (UNTUK KAUM WANITA SHJ)

Gambar anak bongsu kak Fatim, Wafa Nur Sabrina (kiri), bersama kakaknya Ummu Hanie.

Salam semua,

Hari ini Kak Fatim nak ceritakan pengalaman yang benar-benar tidak dapat Kak Fatim lupakan dan benar-benar memberi pengajaran kepada Kak Fatim.

Kisah ini berlaku pada 7 tahun yang lalu (tahun 2002). Ketika itu Kak Fatim sedang mengandungkan anak bongsu Kak Fatim. Kak Fatim sedang bekerja di Politeknik Seberang Perai dan sambung belajar dalam cuti semester di Maktab Perguruan Teknik, Cheras.

Ketika kandungan Kak Fatim dah masuk 28 minggu, Kak Fatim diarahkan menyambung belajar untuk semester kedua di maktab. Ketika itu baharu saja habis cuti Hari Raya Puasa. Kak Fatim rasa berat nak pergi ke maktab kerana baru raya ke empat. Tambahan pula terpaksa tinggalkan suami dan anak yang kecil-kecil. Sedih betul dibuatnya.

Semasa Kak Fatim naik bas ke KL, Kak Fatim ditemani oleh adik perempuan Kak Fatim yang kebetulan bekerja di KL juga. Kami naik bas Keris Liner dari Kulim. Semasa bas bergerak, jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Kak Fatim ingat Kak Fatim memakai baju sejuk kerana cuaca begitu sejuk. Anak-anak Kak Fatim kalut nak ikut sama, jenuh juga suami Kak Fatim mengepung mereka.

Semasa dalam perjalanan, Kak Fatim tidak dapat melelapkan mata, Kak Fatim terasa gayat kerana bas bergerak terhoyong-hayang sedangkan adik Kak Fatim telah lama dibuai mimpi.

Lebih kurang pukul 3.00 pagi, Kak Fatim terlelap. Rasanya tak sampai 10 minit Kak Fatim terlelap, Kak Fatim terdengar jeritan. Sebaik-sahaja Kak Fatim membuka mata, Kak Fatim lihat orang ramai dalam keadaan kelam kabut. Bas terasa seperti terbang dan terkeluar dari laluannya dan melanggar divider dan kemudian terseret ke tepi jalan. Berdentum dentam bunyai bas itu. Semua orang memekik dalam bas. Sedar-sedar bas berhenti... senget dan.. dum! Terbalik. Bas masuk ke longkang!!!

Kak Fatim terhempas di atas adik Kak Fatim dan di terperosok di tepi dinding. Kesian betul dia..

Dalam panik-panik tu, kami berdua cepat-cepat bangun. Malang. Pintu bas sekarang berada di atas. Macammana kami nak panjat? Kami mendapat satu akal, tingkap di sisi kami yang retak seribu tu kami hentak-hentak dengan beg, biar pecah berderai. Kami berdua merangkak keluar melalui lubang sempit yang kami buat itu. Ingatan yang menerjah ketika itu adalah sangat menakutkan. Kak Fatim membayangkan kami tak sempat keluar kerana bas meletup. Alhamdulillah, kami berjaya keluar dan bas tidak meletup.

Kami lihat diluar, kedudukan kami betul-betul dipapan tanda Bukit Beruntung, nyaris tidak melanggar papan tanda yang besar tu, kalau terlanggar, nauzubillah, boleh dibayangkan betapa teruk keadaan kami semua. Tambah mengejutkan lagi, tidak sampai 100 meter di depan adalah gaung yang cukup dalam, siap ada tasik di dalamnya.

Kak Fatim hubungi suami dan kami membuat laporan polis tentang kemalangan itu. Selain itu Kak Fatim juga pergi periksa kandungan Kak Fatim yang dah hampir 30 minggu tu, kata doktor semuanya okay.

Kak Fatim sangka semua sudah tamat, tetapi sebenarnya ia adalah permulaan kepada penderitaan yang begitu panjang!!!

Masuk 8 bulan, kandungan kak Fatim mula menunjukkan tanda-tanda akan bersalin, sedangkan masanya belum cukup. Sakitnya seperti hendak bersalin sehingga Kak Fatim tak boleh bangun. Setiap kali Kak Fatim bangun, Kak Fatim terpaksa duduk semula. Kandungan Kak Fatim terlalu rendah. Kak Fatim rasa lenguh seluruh bahagian perut, kadang kala rasa macam contraction. Tambah malang, ketika itu suami Kak Fatim tidak ada di sisi kerana satu urusan. Hanya ibu mertua yang ada.

Sakit Kak Fatim semakin teruk dan akhirnya terpaksa dibawa ke klinik bersalin. Kata doktor Kak Fatim premature contraction. Doktor beri cuti sehingga seminggu, di sambung pula dengan cuti raya cina . Akibatnya, Kak Fatim tidak pergi bekerja dalam tempoh yang sangat lama. Kak Fatim duduk berbaring di rumah sahaja. Sakit Kak Fatim ditambah degan demam selsema dan batuk yang teruk. Setiap kali batuk setiap kalilah kandungan terasa seperti hendak terkeluar.

Kiranya hampir sebulan Kak Fatim menanggung sakit yang teruk tu akhirnya tibalah saatnya Kak Fatim hampir bersalin. Alhamdulillah suami ada di sisi pada ketika itu.

Pagi tu tibalah saatnya Kak Fatim hampir bersalin. Kebiasaannya Kak Fatim kalau dah hampir bersalin, tidak dapat berjalan. Suamilah yang membantu Kak Fatim. Kak Fatim terlebih dahulu di bawa berjumpa mak bidan terkenal di situ. Inilah kata-kata mak bidan tu, Kak Fatim teringat sehingga ke saat ini.

" Tak pa aihh, Tok Yah pelorong bagi cek beranak senang sikit. Nanti beranak tak sakit dah".

Kata mak bidan tu sambil menuruh Kak Fatim menelan sirih jampi. Ya allah, rasanya. Macam nak tersembur balik, namun di saat tu, Kak Fatim gagahi juga. Habis sesi tu, Kak Fatim di bawa ke Dewan bersalin Muslimah di Taman Arowana, Permatang Pauh. Sampai saja di situ, Kak Fatim di bawa masuk ke bilik bersalin.

Di sinilah bermula cerita sedih Kak Fatim...

Selepas diperiksa Doktor mengatakan bahawa kandungan dah terbuka 4 cm. Maknanya dah saat kelahiran dah hampir bermula. Tapi Kak Fatim tak rasa apa-apa. Sudah tidak sakit lagi. Sakit tempohari sudah hilang.

Kami menunggu begitu lama. doktor menasihati suami Kak Fatim supaya mendudukkan Kak Fatim secara bersandar supaya kandungan Kak Fatim mudah keluar. Tetapi Kak Fatim tetap tidak merasa apa-apa.

Doktor mula menyuntik ubat contraction dalam air yang dialir masuk ke dalam badan Kak Fatim. 1 ml. Kemudian 2 ml. Tiada apa-apa berlaku. Kemudian 3 ml... 4 ml.. 5 ml. Menurut doktor kebiasaannya 5 ml pesakit dah contraction tahap yang kuat. Akan tetapi Kak Fatim tidak berasa apa-apa...

Seterusnya doktor menyuntik lagi.. 6ml..7ml...8ml...9ml...10ml..11ml Kak Fatim tidak dapat ingat sampai berapa ml tetapi jumlahnya sangat merunsingkan doktor.

"Push..Fatimah, push.. you dah boleh bersalin.. dah nampak rambut budak" kata doktor.

Terperanjat kita dengar kata-kata doktor. Dah nampak rambut budak? Macammana nak push kalau tak rasa apa-apa???

Doktor mencari jalan dengan menekan bahagian rectum, ketika itu barulah Kak Fatim terasa seperti hendak meneran, tetapi bila alat itu diangkat, rasa berkenaan hilang begitu sahaja.

Agak lama juga doktor menunggu, jenuh segala ayat Kak Fatim baca bersama-sama doktor. Suami Kak Fatim semakin resah. Dia keluar dari bilik bersalin dan menunaikan sembahyang hajat.

Sekonyong-konyong barulah terasa seperti hendak bersalin. Sakit sangat, tetapi tidak cukup untuk push bayi Kak Fatim keluar. Kak Fatim tidak ada cukup tenaga. Kak Fatim menangis-nangis pada doktor supaya membuat pembedahan kepada Kak Fatim.

" You boleh buat fatimah, you tarik nafas, push. Tarik nafas, push. Anak you dah nak keluar. Nanti kalau lama sangat dia lemas. Kesian anak you Fatimah"

Ketika itu, hanya air matalah yang mentafsir segalanya. Sakit tak dapat dikata lagi penangan ubat melebihi dos tu.

" Fatimah, kami nak vakum, dah lambat sangat dah ni. Ok kami pasang alat ni, sekali kami kata push. You kena push sehabis daya you. Kalau you tak buat juga anak you akan mati lemas". Itulah kata-kata muktamad doktor.

Alat vakum dipasang. Kak Fatim menarik nafas dalam-dalam dengan air mata merambu keluar.

Ketika itulah mereka menberi arahan...PUSH...

Kak Fatim meneran sehabis daya.

Tiba-tiba ingatan Kak Fatim hilang...

Kak Fatim terdengar suara orang begitu jauh. Kak Fatim nampak orang begitu jauh. Kak Fatim seolah-olah berada di atas, diawangan, melihat doktor di bawah, begitu jauh...

Kak Fatim terdengar bunyi suara bayi menagis. Kak Fatim terdengar orang mentalkinkan 'Laila ha illallah Muhammad Rasulullah' berulang kali. Kak Fatim hanya bisa menyebut Allah, Allah di dalam hati, bukannya 'Laila haillallah Muhammad Rasulullah"....

Di dalam hati.. bukannya dibibir...

Ketika saat itu Kak Fatim menyatakan pada diri: Aku telah kembali...

Alangkah sedihnya, tanpa kalimah itu di akhir kalam. Bagaimanakah nasibku nanti di sana..

Beberapa saat selepas itu, pipi Kak Fatim ditampar.

" Fatimah, bangun. Dia buat lupa dah, dia buat lupa. Ingat Allah Fatimah... nanti syaitan masuk..ingat Allah Fatimah. Jangan buat macam ni Fatimah, jangan buat macam ni".

Doktor menampar pipi Kak Fatim beberapa kali. Kak Fatim terasa tubuh Kak Fatim dihinggut. Agak lama baharulah Kak Fatim sedar. Doktor memberi bayi kepada Kak Fatim tetapi Kak Fatim menolak kerana terlalu letih.

Ya, Kak Fatim telah pergi atau sekurang-kurangnya roh Kak Fatim telah keluar di kala Kak Fatim masih terjaga..

Dan yang paling memilukan, Kak Fatim tidak dapat mengucap kalimah 'Lailaha illallah Muhammad Rasulullah' pada ketika itu...

Kak Fatim bukan perempuan jahat, tidak pernah ingin membuat jahat, tidak lalai dengan suruhan Allah SWT, tidak meninggalkan ibadah, tidak suka hiburan yang melalaikan...

Tetapi rupa-rupanya, itu semua tidak cukup untuk mengizinkan Kak Fatim mengucap 2 kalimah syahadah...Di saat yang genting itu tiada satu kuasa yang dapat membantu kita mengucap 2 kalimah syahadah, kecuali keizinan Allah SWT.

Dan keizinan itu dapat kita perolehi dengan satu usaha.

Iaitu dengan menzikirkan kalimah itu dibibir di setiap saat dalam hidup kita, dan menanamkannya di dalam hati kita. Apa yang kita bawa di sepanjang hidup kita, itulah yang akan keluar di akhir kalam kita...

Bagaimana kita boleh berzikir jika setiap saat jika hidup kita dilimpahi hiburan, setiap saat hati kita melagukan irama yang kita dengar dicorong-corong radio.

" Sesiapa yang mengucapkan kalimah Allah di akhir kalam maka wajiblah syurga ke atasnya"..

Di saat serebrum kita tidak lagi dapat mengawal pemikiran kita. Hanya bahagian otak yang menjaga bahagian yang lazim dapat membantu kita. Maka kita isikanlah bahagian itu dengan kalimahNya.

Ambillah iktibar dari cerita ini duhai adikku, janganlah kita berasa terlalu yakin anda dapat melepasi peperiksaan yang amat dahsyat ini sehingga menyebabkan kita menjadi lalai...

Monday, October 4, 2010

1. Hikmah Ditimpa Sakit


Salam adik-adik semua yang dikasihi,

Kak Fatim teringat kisah yang berlaku tahun lepas. Mungkin boleh diambil pengajaran untuk adik-adik jadikan iktibar. Ceritanya Kak Fatim ditimpa sakit. Sakit itu tidaklah teruk sangat sehingga terlantar, namun hakikatnya memang susah nak bangun. Setiap kali nak bangun terpaksalah berpegang ke birai katil, dinding atau apa-apa sahaja yang dapat menyokong Kak Fatim bangun. Bila nak jalan pula, terhencot-hencot. Sangat sukar sekali. Lama Kak Fatim mengidap penyakit tu, hampir 2 tahun. Setiap kali Kak Fatim bangun, Kak Fatim rasa macam berpijak di atas belakang pisau. Bayangkan...

Asalnya sakit tumit, sahaja. Lepas tu menjangkit ke pergelangan kaki dan lagi teruk, sampai ke betis. Rasa macam urat disentap dan ditarik. Jenuh Kak Fatim berurut, urut tradisional, urut sendiri. Kadang-kadang bila sakit sangat, Kak Fatim berbaring dan minta abang Ariffin urutkan tapak kaki. Tahu sajalah tangan orang lelaki, lagi urut lagi sakit.

Kak Fatim pergi ke klinik. doktor kata kKak Fatim mengidap masalah tulang timbul. Tulang berlebihan timbul di tapak kaki akibat berat badan yang berlebihan. Cara rawatannya menurut doktor, kena pakai kasut lembut atau masukkan insole dalam kasut. Atau cara satu lagi, buat pembedahan, potong tulang tu!!!

Kak Fatim rasa begitu kecewa mendengar kata-kata doktor. Kak Fatim terfikir, pertamanya Kak Fatim bukanlah kategori gemuk. Malah orang yang gemuk pun tak kena sakit begitu. Keduanya, tidak ada cara lain lagikah yang lebih mudah. Insole kak Fatim beli, tapi tak sesuai bila dimasukkan ke dalam kasut. Tetap sakit juga. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Kak Fatim ketika sakit tu. Rasa macam nak kecewa pun ada, putus asa pun ada. Kerja rumah habis Kak Fatim bagi abang Ariffin uruskan. Kak Fatim cuma buat kerja yang tidak perlu berdiri sahaja.

Masa keadaan bertambah teruk, Kak Fatim merintih kepada Yang Maha Pencipta akan perihal Kak Fatim yang lemah ini. Kak Fatim yakin Allah mengetahui apa yang berlaku pada Kak Fatim. Kak Fatim tahu Allah beri sakit kerana Allah sayang Kak Fatim, maka Allah nak uji sejauh mana kesabaran hambanyaNya.

Kak Fatim bukannya tidak sabar. Kak Fatim mohon sembuh kerana komitmen kerja dan tanggung jawab sebagai guru, isteri, ibu, menantu, anak dan lain-lain yang begitu banyak telah terjejas akibat penyakit ini. Kak Fatim berjanji pada Allah SWT akan berbuat seberapa banyak kerja amal dan kebaikan yang boleh. Kak Fatim juga memohon Allah SWT membuka seberapa banyak peluang untuk Kak Fatim membuat seberapa banyak kebajikan.

Dan kemudiannya adik-adik, permohonan Kak Fatim telah dimakbul Tuhan..

Kak Fatim diberi ilham untuk berubat dengan 2 jenis ubat yang memdapat jaminan sembuh di sisi Allah SWT. Penyembuhannya ada terdapat di dalam hadith dan AlQuran. Kak Fatim beramal dengan perubatan Sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Berpaksikan kepada keyakinan terhadap hadith Nabi Muhammad SAW. Kak Fatim yakin penuh dengan janji-janji Allah dan RasulNya. Kak Fatim amalkan tiap-tiap pagi air suam yang dicampur satu sudu madu lebah dan satu sudu teh cuka kurma. Sebelum meminumnya, Kak Fatim terlebih dahulu memasukkan sesudu minyak habbatus sauda ke dalam mulut dan minum bersama campuran berkenaan. Kak Fatim juga tidak lupa membaca basmalah dan selawat ke atas nabi.

Setelah mengamalkannya selam dua bulan tanpa henti, penyakit Kak Fatim sembuh sepenuhnya.

Ajaib bukan?? Sesungguhnya setiap ujian penyakit itu datangnya dari Allah dan hanya Allah mampu menyembuhkannya. Kita hanya mampu berusaha. Kita juga diperintahkan meyakini Kalamullah dan beramal dengan Sunnah Rasulullah. Kita tahu semua itu. Namun sangat sedikit di kalangan kita yang ambil peduli. Apabila diberi sakit, maka kita akan ingat.

Jelas kata ulama:

"Sesungguhnya kesihatan itu umpama mahkota di atas kepala orang yang sihat.
Yang hanya boleh dilihat oleh orang yang sakit".