TAG META

Saturday, December 4, 2010

PENGALAMAN BERSAMA MASTHURAT PALESTIN


Salam adik-adik semua,

Hari ini Kak Fatim nak ceritakan pengalaman menerima tetamu masthurat Palestin, satu pengalaman yang sangat besar ertinya dalam hidup kakak.

Sebelum Kak Fatim bercerita dengan lebih lanjut, perlu rasanya Kak Fatim menerangkan serba sedikit tentang apakah yang dimaksudkan tentang masthurat itu. Masthurat bermaksud tertutup. Jemaah masthurat bermaksud jemaah tertutup. Jemaah tertutup ini adalah sebahagian dari nisab jemaah tabligh yang bersyaratkan kehadiran pasangan suami dan isteri semasa melakukan kerja dakwah. Ia dinamakan tertutup kerana apabila melibatkan kaum wanita milik seorang pendakwah tabligh seperti isteri,anak perempuan atau ibu, mereka perlulah diiringi oleh suami atau mahram mereka dan penempatan mereka semasa keluar berdakwah adalah di dalam rumah penerima jamaah iaitu warga tempatan tempat mereka berdakwah. Mereka bercadur hitam sepenuhnya, semua anggota badan mereka termasuklah mata mereka tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Mereka tinggal di dalam rumah milik penerima jemaah dan mengamalkan sunnah sepenuhnya sepangjang masa mereka menjalankan dahwah. Dakwah mereka adalah untuk kaum wanita yang dijemput oleh tuan rumah, kaum wanita ini kebanyakannya terdiri dari warga tempatan yang tinggal berdekatan dengan rumah penerima jemaah. Kaum lelaki mereka ditempatkan di surau-surau atau masji-masjid berdekatan dan bertugas menyampaikan dakwah bagi kariah surau atau masjid berkenaan dan menyeru warga tempatan untuk membawa isteri-isteri mereka untuk menghadiri program di rumah penerima jemaah. Suasana adalah sunnah sepenuhnya dan perlanggaran sunnah Rasulullah SAW sedaya upaya dielakkan. Teks bacaan mereka adalah mutawatir dan merujuk kepada sumber yang mutawatir dan terkenal sahaja iaitu kitab fadhilat amal sahaja. Kitab ini sangat terkenal dan diguna pakai di seluruh dunia serta terdapat di mana-mana masjid dan surau yng pernah kak Fatim pergi. Kitab-kitad lain tidak dipakai untuk rujukan bagi mengelakkan kecelaruan kerana kitab-kitab lain memerlukan tuan guru untuk mengajar dan memberi penerangan. Sistem ini diamalkan secara standard oleh semua jemaah tabligh di seluruh dunia tanpa kecuali. Tidak ada unsur berbeza atau asing dan sebarang penentuan program adalah melalui keputusan syura ahli jemaah yang diketuai oleh seorang amir. Suasana dakwah ini telah berjalan dengan kaedah yang sama lebih dari 70 tahun sehingga kini diamalkan diseluruh dunia tanpa unsur meragukan di dalamnya.

Baiklah, berbalik kepada cerita Kak Fatim. Sebenarnya Kak Fatim telah lama berhajat untuk terima jemaah, akan tetapi ada sahaja aral yang tidak mengizinkan. Mungkin disebabkan kelemahan kak Fatim memanjatkan doa kepada Allah SWT dan kekurangan amal sunnah dalam hidup kakak. Satu ketika, kira-kira 2 tahun yang lalu, Kak Fatim terdengar bahawa ada satu jemaah masthurat dari Palestin akan hadir ke marhalah kami. Pada mulanya ada satu keluarga yang sanggup terima jemaah ini, namun disaat-saat akhir mereka terpaksa menolak atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Kak Fatim terus memujuk suami untuk menerima jemaah itu walaupun sebenarnya Kak Fatim tidak berpengalaman handle jemaah. Sepatutnya Kak Fatim perlu menerima jemaah tempatan terlebih dahulu kerana jemaah foreign (luar Malaysia) lagi besar mujahadahnya. Namun, begitulah hakikat ketentuan Allah terhadap sesuatu perkara, tiada daya upaya yang mampu menolaknya. Jika Allah menetapkan bahawa itu adalah rezeki kita, ia tetap akan menjadi milik kita. Maka akhirnya rumah Kak Fatim telah dipilih untuk menerima tetamu dari bumi anbiyak itu.

Sehari sebelum hari kehadiran mereka, Kak Fatim telah bersiap sedia dengan segala keperluan seperti kain tirai yang dipasang di luar rumah bagi mengelak pandangan kaum lelaki ke arah kawasan kaum wanita, kusyen-kusyen di bawa masuk kebilik dan ruang tamu dibiarkan lapang dan dihamparkan permaidani dan tikar.

Akhirnya hari yang ditunggu pun tiba. Semasa jemaah sampai, kami (kaum wanita yang menunggu di rumah diarahkan masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Amir dan beberapa orang lelaki dari kalangan jemaah yang hadir terlebih dahulu masuk ke dalam rumah dan memastikan setiap ruang telah disediakan bersesuaian dari segi sunnah terutama aspek aurat dan pembahagian ruang yang memisahkan kaum lelaki dan wanita. Bilik untuk jemaah masthurat iaitu isteri-isteri mereka diteliti kesesuaiannya. Setelah berpuas hati, mereka pun keluar. Seketika kemudian Kak Fatim terdengar suara wanita memberi salam. Kak Fatim membuka pintu bilik dan mendapati jemaah yang kakak tunggu telahpun berada di ruang tamu.Mereka membuka cadur masing-masing. Ah, terasa seperti mimpi, kak Fatim kini berada di hadapan tetamu yang kakak tunggu-tunggu. Wanita solehah dari bumi ambiyak...

Sungguh cantik mereka ini. Kulit putih bersih. Maklumlah saja, orang arab. Pelestin pulak tu...
Kak Fatim pernah terfikir bahawa Kak Fatim tidak mungkin akan berjumpa mana-mana orang pelestin di dalam hidup kakak kerana orang Malaysia di larang memasuki negara mereka. Namun, Allah menentukan segala-galanya. Allah SWT sendiri yang menghantar mereka ketempat Kak Fatim. Syukur Alhamdulillah atas peluang yang Allah SWT kurniakan kepada kakak.

Namun, timbul pula satu masalah. Hanya seorang sahaja dari mereka yang lancar berbahasa Inggeris, itupun telo nya begitu aneh dan sukar difahami. Yang lain pula berbahasa Arab sepenuhnya. Syukur Kak Fatim boleh berbahasa Inggeris dan memahami sedikit bahasa Arab. Namun begitu, Kak Fatim tidak boleh bercakap Arab, hanya boleh memahami apa yang mereka katakan sahaja.

3 hari lamanya mereka bersama kak Fatim, banyak pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan terutamanya tentang cara makan mereka yang sungguh berbeza. Roti yang Kak Fatim beri, mereka letak atas tikar saprah sahaja. Pinggan mereka tidak mahu gunakan apabila memakan roti. Anak-anak Kak Fatim asyik ketawakan mereka sahaja. Selain itu mereka juga memberi komen tentang orang Malaysia memakan daging bergula, mungkin itu yang mereka maksudkan dari perkataan 'sugar ala lahmi'. Kak Fatim difahamkan bahawa seseorang datang menziarah mereka semasa mereka tinggal di rumah warga tempatan sebelum mereka tiba di rumah Kak Fatim dan menjamu mereka 'satay'. Mereka tidak makan makanan laut selain dari ikan. Seringkali Kak Fatim disuruh memanaskan susu sebagai minuman mereka. Paling teruk sekali adalah apabila ada orang kampung Kak Fatim yang membawa buah durian (kerana kebetulan ketika itu memang musim buah-buahan), mereka langsung tidak mahu dekati raja buah itu, habis buah cempadak dan nagka pun disangkakan 'abu shaukah' (durian). Mereka sangat sukakan pisang emas dan berasa pelik melihat pisang yang bersaiz begitu kecil tetapi masak. Di tempat mereka hanya pisang besar yang ada dijual. Selain itu, mereka sangat suka makan rambutan. Kak Fatim teringat salah seorang dari mereka meletakkan himpunan buah-buahan tempatan seperti cempedah, rambutan, nenas dan pisang yang dibawa oleh orang-orang kampung di satu sudut, menyusun buah-buahan itu dan mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya.

3 hari bersama mereka begitu bermakna dan berharga kerana bagitu banyak perkara yang Kak Fatim belajar dari mereka. Mereka bercerita tentang keadaan orang Israel dan orang Pelestin. Mereka semua adalah dari Ramalah. Tempat yang teruk dilanda krisis adalah di Gaza. Jarak antara Ramalah dan Gaza adalah lebih kurang 200 km. Hubungan orang Israel dan Palestin di Ramalah seperti orang Cina dan Melayu di Malaysia. Mereka telah lama menetap di situ dan ada di antara mereka yang telah berkahwin dan memeluk agama Islam. Yang paling memeranjatkan kami terdapat tiga markaz tabligh di Israel. Ini satu yang memang menghairankan kerana kita menyangka bahawa orang yahudi tidak akan memberi peluang kepada orang Islam dengan apa-apa cara untuk mengembangkan agama Islam di sana. Ini jelas menunjukkan bahawa usaha agama yang mengikut sunnah pasti membawa kejayaan, kerana dalam sunnah ada kejayaan. Orang-orang Yahudi tidak langsung mengganggu usaha tabligh di Israel kerana mereka tahu bahawa sekiranya mereka mengganggu, azab Allah SWT akan menimpa mereka. Mereka lebih faham, tahu dan yakin dengan semua ajaran nabi-nabi terdahulu. Apa yang menyebabkan keengkaran mereka adalah kerana keangkuhan mereka dan ketidak terimaan mereka terhadap junjungan besar nabi Muhammad SAW. Mereka mengharapkan bahawa nabi terakhir adalah di kalangan bangsa mereka sendiri. Sekiranya ada jemaah yang kelihatan membuat 'ghast' (berdakwah mengajak ke masjid dari rumah-kerumah) mereka akan menyisih dan tidak akan mengganggu kumpulan- kumpulan ini.

Masthurat-masthurat tabligh ini sangat pandai menyampaikan dakwah kepada orang-orang kampung kakak. Orang-orang kampung pula berpusu-pusu datang kerana hendak tengok orang Palestin. Mereka bercakap dengan begitu lancar terutamanya bila menyebut ayat-ayat Al Quran dan Hadith. Maklum sahaja ini bahasa mereka sendiri. Kakak pula menjadi translator kepada orang-orang kampung. Kasihan juga kakak pada mereka kerana tidak sempat berehat, ada juga orang kampung yang datang ketika waktu rehat mereka. Paling menggelikan hati ialah bila mereka tanya pada Kak Fatim tentang bedak sejuk yang dipakai oleh wanita kampung ketika berkunjung ke rumah Kak Fatim, mereka tanya Kak Fatim kenapa orang-orang tua kampung mengecat muka mereka sehingga putih melepak.

Dalam sibuk-sibuk tu, sempat juga Kak Fatim mengajak mereka turun ke belakang rumah melihat pokok-pokok buah-buahan. Rumah Kak Fatim di kampung dan di bahagian belakang rumah ada kebun yang kecil dan tanah lapang. Tiada rumah orang di situ. Mereka melihat pokok kelapa dengan rasa takjub yang jelas pada wajah mereka. Maklum sahaja, buah kelapa besar, tidak seperti buah kurma di negara mereka. Kak Fatim terdengar mereka menyebut masya Allah beberapa kali sambil memegang buah itu. Tapi apabila Kak Fatim menceritakan tentang ular tedung selar yang Kak Fatim bertebung beberapa kali di belakang rumah, mereka cepat-cepat masuk ke dalam rumah.

Sampailah masanya mereka berpindah ke rumah yang lain (setiap rumah maksimum 3 hari sahaja - hak untuk menerima layanan sebagai tetamu di dalam Islam adalah 3 hari- Mungkin sebab ini ulama menetapkan bahawa hentian pada setiap rumah hanyalah 3 hari sahaja). Kak Fatim perlu pergi kerja kerana telah mengambil cuti 2 hari, jadi Kak Fatim terpaksa meninggalkan mereka di rumah bersama wanita masthurat tempatan yang lain. Selain itu Kak Fatim berikan sedikit ole-ole untuk mereka bawa pulang ke kampung halaman mereka selain dari bedak sejuk setiap orang satu botol. Apabila Kak Fatim pulang dari kerja pada hari itu, mereka telah tiada. Kak Fatim berasa begitu sedih. Hampir 8 bulan selepas itu Kak Fatim terjumpa sekeping nota yang mereka tinggalkan untuk Kak Fatim. Mereka begitu menghargai layanan yang Kak Fatim berikan dan mereka doakan Kak Fatim akan sampai ke negara mereka melalui usaha dakwah ini. Wasallam.

1 comment:

  1. Lucky Club: The first virtual gambling site, developed with
    Lucky Club is an online casino brand for Virtual Sports enthusiasts. In addition to regular promotions, Lucky Club is committed to supporting  Rating: 4.5 · luckyclub.live ‎24 reviews

    ReplyDelete