TAG META

Sunday, December 26, 2010

KENANGAN ARWAH BAPA - Tiada lagi sepertinya...

Bapaku Allahyarham Tuan Haji Saidin Bin Ahmad

Salam semua pembaca yang budiman,

Sejak akhir-akhir ini Kak Fatim sering teringatkan arwah ayah kakak yang telah kembali ke rahmatullah 4 tahun yang lepas. Puncanya Kak Fatim terjumpa buku doa yang telah sekian lama arwah ayah berikan kepada Kak Fatim tetapi Kak Fatim tidak mampu nak mengamalkan doa-doa di dalam buku itu sebab terlalu banyak. Dalam sekian banyak doa yang ada, terdapat 2, 3 kering kertas doa yang ayah kak Fatim tulis sendiri dan sekeping lagi yang Kak Fatim tulis sendiri. Memang Kak Fatim akui kelemahan kak Fatim kerana tidak mampu nak mengamalkan doa-doa itu.

Ayah Kak Fatim adalah seorang lelaki yang tegas berpendirian. Jika beliau berpendapat tentang sesuatu perkara, beliau akan berpegang pada prinsip berkenaan walaupun satu kampung mempunyai pendapat yang berbeza. Beliau tidak kisah walaupun keluarga kami menjadi berbeza dari keluarga yang lain. Apabila sesuatu perkara itu berkaitan dengan perihal hukum syubhah atau haram, beliau akan terus mengkategorikan sebagai haram. Setakat yang Kak Fatim ingat, rumah Kak Fatim hampir-hampir tidak pernah dimasuki  makanan-makanan diproses seperti kicap, sos cili, sos tomato, taucu, planta dan lain-lain. Bukan itu sahaja, setiap kali hari raya tiba, rumah kami langsung tidak ada kuih yang mengandungi bahan bermajerin atau mentega. Yang ada hanyalah kuih raya tradisional sahaja. Kadang kala kami adik beradik (yang memang nakal sangat ketika itu), menyeludup masuk maggi, kicap dan makanan ringan seperti keropok dan coklat. Itupun kalau beliau dapat tahu memang nahas kami adik beradik.

Selain itu beliau juga sangat kuat berzikir. Menjadi perkara biasa bagi kami melihat beliau duduk di beranda rumah dan berzikir sehingga berpuluh-puluh ribu kali sehari. Beliau juga mengamalkan pelbagai jenis doa terutamanya yang berkaitan dengan seni mempertahankan diri. Setiap kali Kak Fatim pulang ke kampung, beliau pasti akan memanggil Kak Fatim dan menyuruh Kak Fatim menyalin doa-doa. Kak Fatim akui, doa beliau sangat banyak, hanya 10% sahaja dari yang diberikan itu, Kak Fatim amalkan.

Ayah Kak Fatim ini dahulunya adalah guru silat, pernah mengamalkan silat selendang merah yang kemudiannya diharamkan. Memperturunkan (mengijazahkan)  silat berkenaan semasa Tragedi berdarah 1969 kepada ramai muridnya. Kemudiannya beliau tidak lagi mengamalkan silat berkenaan dan beralih kepada ilmu Tariqat dan seni silat Abjad. Semasa kes pertelagahan di Kampung Rawa tentang masjid dan kuil, ayah Kak Fatim sekali lagi mengijazahkan seni silat kepada ramai anak-anak muridnya sehingga kami sekeluarga dipantau oleh pihak berkuasa. Keadaan begitu merisaukan pada ketika itu, anak-anak muda datang ke rumah membawa keris dan pedang untuk didoakan. Ini bertujuan supaya keris dan pedang itu tidak semudahnya menumpahkan darah orang kerana kebiasaannya syaitan sangat suka singgah pada bahan yang diperbuat dari besi.

Walaupun ayah Kak Fatim seorang yang tegas, beliau juga seorang yang sangat mengambil berat perihal keluarga. Beliau sangat murah hati dan sanggup mengeluarkan duit ringgit tanpa berkira. Sesiapa sahaja yang datang meminta, pasti akan diberikan dan sesiapa yang perlukan bantuan, pasti akan ditolong. Sikap yang baik ini tidak hanya tertumpah kepada kaum Melayu sahaja malah beliau juga mempunyai rakan India dan Cina yang sangat ramai. Kebanyakan rakan Cina meminati ayam sabung yang sangat banyak di rumah Kak Fatim. Mereka suka datang melihat-lihat ayam sabung dan melihat ayam itu berlawan. Ini secara suka-suka sahaja kerana ayah Kak Fatim sangat keras menantang apa-apa bentuk perjudian. Pada satu ketika kami pernah memiliki ayam sebanyak lebih dari seratus ekor. Apabila kami tidak mempunyai cukup wang untuk membeli ikan (maklum sahaja ayah Kak Fatim pesara guru, kami seramai 15 beradik)ayah akan sembelih ayam. Kak Fatim adalah salah seorang yang akan ditugaskan untuk selinap dan proses ayam-ayam tu. Semasa umur Kak Fatim sepuluh tahun, Kak Fatim sudah boleh proses 7 ekor ayam dara dalam masa satu jam.

Ayah Kak Fatim menuntut ilmu di merata-rata tempat pada zaman mudanya. Beliau pernah mengamalkan doa-doa dan menyorok dari orang Jepun di belakang pokok yang sangat kurus. Jika difikir secara logik, memang Jepun boleh nampak, tetapi berkat dari zikir dan amalan yang dibaca saban hari, beliau selamat dari pihak Jepun. Berkat amalan yang istiqamah itu, beliau diberi satu anugerah oleh Allah iaitu boleh mengubat orang sakit. Tentang ini, ayah Kak Fatim mepunyai satu kitab tentang herba dan perubatan tradisional, beliau sangat arif tentang dedaun apa yang boleh mengubati penyakit apa. Akar apa yang sesuai diminum untuk sekian penyakit. Berkat dari menjaga pemakanannya juga, doa ayah Kak Fatim sangat makbul. Apa sahaja dipohon, sering dimakbulkan Allah SWT. Memang kita maklum bahawa antara sebab makbul doa adalah pemakanan yang bersih dan halal. Satu ketika kami pernah didatangi tetamu yang sangat ramai sedangkan pada ketika itu makanan kami sangat sedikit. Ayah Kak Fatim menyuruh kami menjamu mereka tanpa mengira samada lauk mencukupi atau tidak. Namun begitu mulut beliau berkumat-kamit berdoa. Sehingga semua tetamu pulang, makanan yang berbaki masih mencukupi untuk kami sekeluarga.

Satu lagi kelebihan ayah Kak Fatim adalah kebolehan yang dianugerahi Allah SWT untuk beliau iaitu kasyaf. Kasyaf ini bukanlah sering terjadi seperti yang kita dengar dari cerita pengamal ajaran sesat, bomoh, pawang dan lain-lain. Ia berlaku sekali-sekala, dalam keadaan kita tidakpun berharap kepadanya (kasyaf). Dan apabila kita harap berlaku atau kita bertanya pada ayah, ia tidak berlaku. Ada kalanya beliau mengeluarkan kenyataan yang tepat terjadi tetapi apabila kita mengunkap kembali apa yang berlaku dan mengaitkan kenyataannya itu, beliau tidak mengaku mengeluarkan kenyataan itu, seolah-olah semasa beliau mengeluarkan kenyataan itu, beliau tidak sedarinya. Antara lainnya adalah tentang kematian 2 orang anak saudara Kak Fatim yang beliau pernah nyatakan kepada abang Kak Fatim. Ia memang terjadi. Selain itu tentang orang yang akan datang ke rumah kami, beliau sering memberitahu kami seperti 'sekejap lagi ada orang akan datang ke rumah, rupanya begini dan begitu..' Memang orang begitulah yang datang pada hari itu..

Ayah Kak Fatim adalah seorang yang tidak pernah berkira tentang masa yang diperuntukkan untuk tetamunya. Tidak kira siang atau malam, beliau sanggup melayan walaupun tersangat letih atau mengantuk. Ketika beliau sakit sekalipun, beliau akan bertongkat ke beranda rumah dan melayan tetamu yang datang. Beliau tidak kisah untuk berubat penduduk kampung walaupun mereka datang pada jam 2, 3 pagi ketika beliau sedang nyenyak tidur. Sepanjang hidup beliau, rumah kami tidak pernah sunyi dari tetamu yang datang saban hari tidak kira waktu. Namun kebiasaannya tetamu pulang pada jam 12, 1 atau selewat-lewatnya 2 pagi. Kadang kala Kak Fatim dan ibu berasa begitu kasihan melihat beliau. Pendek kata ayah Kak Fatim ini menjadi tempat rujuk penduduk kampung dan daerah kami tidak kira tua ,muda, Melayu, Cina, India, fahaman politik yang berbeza dan sebagainya. Semuanya suka merujuk kepada ayah Kak Fatim.

Sehinggalah Allah SWT menjemput ayah Kak Fatim kembali menemuiNya. Kak Fatim tidak dapat mengira berapakah jumlah yang hadir di hari pengebumiannyanya. Jalan masuk ke perkampungan kami sesak sehingga ke pekan oleh kenderaan penziarah. Jenazahnya bersambutan dari satu kumpulan yang menanggung kerandanya ke sekumpulan lain, masing-masing ingin memberikan khidmat terakhir kepada beliau. Dalam sekelip mata jenazah hilang dari pandang kami, kaum wanita yang tinggal di rumah. Dari pengiraan Kak Fatim melalui duit sedekah yang dikumpulkan, tidak kurang 4 ribu orang hadir di hari pengebumian beliau. Sesungguhnya amat sukar untuk Kak Fatim ungkapkan tentang peribadi beliau dan sesungguhnya amat sukar untuk Kak Fatim cari seorang yang seumpama beliau kini.
Sekian.

3 comments: