TAG META

Monday, October 4, 2010

1. Hikmah Ditimpa Sakit


Salam adik-adik semua yang dikasihi,

Kak Fatim teringat kisah yang berlaku tahun lepas. Mungkin boleh diambil pengajaran untuk adik-adik jadikan iktibar. Ceritanya Kak Fatim ditimpa sakit. Sakit itu tidaklah teruk sangat sehingga terlantar, namun hakikatnya memang susah nak bangun. Setiap kali nak bangun terpaksalah berpegang ke birai katil, dinding atau apa-apa sahaja yang dapat menyokong Kak Fatim bangun. Bila nak jalan pula, terhencot-hencot. Sangat sukar sekali. Lama Kak Fatim mengidap penyakit tu, hampir 2 tahun. Setiap kali Kak Fatim bangun, Kak Fatim rasa macam berpijak di atas belakang pisau. Bayangkan...

Asalnya sakit tumit, sahaja. Lepas tu menjangkit ke pergelangan kaki dan lagi teruk, sampai ke betis. Rasa macam urat disentap dan ditarik. Jenuh Kak Fatim berurut, urut tradisional, urut sendiri. Kadang-kadang bila sakit sangat, Kak Fatim berbaring dan minta abang Ariffin urutkan tapak kaki. Tahu sajalah tangan orang lelaki, lagi urut lagi sakit.

Kak Fatim pergi ke klinik. doktor kata kKak Fatim mengidap masalah tulang timbul. Tulang berlebihan timbul di tapak kaki akibat berat badan yang berlebihan. Cara rawatannya menurut doktor, kena pakai kasut lembut atau masukkan insole dalam kasut. Atau cara satu lagi, buat pembedahan, potong tulang tu!!!

Kak Fatim rasa begitu kecewa mendengar kata-kata doktor. Kak Fatim terfikir, pertamanya Kak Fatim bukanlah kategori gemuk. Malah orang yang gemuk pun tak kena sakit begitu. Keduanya, tidak ada cara lain lagikah yang lebih mudah. Insole kak Fatim beli, tapi tak sesuai bila dimasukkan ke dalam kasut. Tetap sakit juga. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Kak Fatim ketika sakit tu. Rasa macam nak kecewa pun ada, putus asa pun ada. Kerja rumah habis Kak Fatim bagi abang Ariffin uruskan. Kak Fatim cuma buat kerja yang tidak perlu berdiri sahaja.

Masa keadaan bertambah teruk, Kak Fatim merintih kepada Yang Maha Pencipta akan perihal Kak Fatim yang lemah ini. Kak Fatim yakin Allah mengetahui apa yang berlaku pada Kak Fatim. Kak Fatim tahu Allah beri sakit kerana Allah sayang Kak Fatim, maka Allah nak uji sejauh mana kesabaran hambanyaNya.

Kak Fatim bukannya tidak sabar. Kak Fatim mohon sembuh kerana komitmen kerja dan tanggung jawab sebagai guru, isteri, ibu, menantu, anak dan lain-lain yang begitu banyak telah terjejas akibat penyakit ini. Kak Fatim berjanji pada Allah SWT akan berbuat seberapa banyak kerja amal dan kebaikan yang boleh. Kak Fatim juga memohon Allah SWT membuka seberapa banyak peluang untuk Kak Fatim membuat seberapa banyak kebajikan.

Dan kemudiannya adik-adik, permohonan Kak Fatim telah dimakbul Tuhan..

Kak Fatim diberi ilham untuk berubat dengan 2 jenis ubat yang memdapat jaminan sembuh di sisi Allah SWT. Penyembuhannya ada terdapat di dalam hadith dan AlQuran. Kak Fatim beramal dengan perubatan Sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Berpaksikan kepada keyakinan terhadap hadith Nabi Muhammad SAW. Kak Fatim yakin penuh dengan janji-janji Allah dan RasulNya. Kak Fatim amalkan tiap-tiap pagi air suam yang dicampur satu sudu madu lebah dan satu sudu teh cuka kurma. Sebelum meminumnya, Kak Fatim terlebih dahulu memasukkan sesudu minyak habbatus sauda ke dalam mulut dan minum bersama campuran berkenaan. Kak Fatim juga tidak lupa membaca basmalah dan selawat ke atas nabi.

Setelah mengamalkannya selam dua bulan tanpa henti, penyakit Kak Fatim sembuh sepenuhnya.

Ajaib bukan?? Sesungguhnya setiap ujian penyakit itu datangnya dari Allah dan hanya Allah mampu menyembuhkannya. Kita hanya mampu berusaha. Kita juga diperintahkan meyakini Kalamullah dan beramal dengan Sunnah Rasulullah. Kita tahu semua itu. Namun sangat sedikit di kalangan kita yang ambil peduli. Apabila diberi sakit, maka kita akan ingat.

Jelas kata ulama:

"Sesungguhnya kesihatan itu umpama mahkota di atas kepala orang yang sihat.
Yang hanya boleh dilihat oleh orang yang sakit".

No comments:

Post a Comment