TAG META

Tuesday, October 12, 2010

4. Penyesalan Tetamu Allah SWT


Salam Zulkaedah semua dan selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan haji bagi yang telah sampai masanya..

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit dengan satu pengalaman yang aneh, berlaku kepada Kak Fatim lewat 14 tahun yang lalu. Setiap kali Kak Fatim melihat umat Islam menunaikan haji, ingatan tentang peristiwa itu sering terimbau kembali. Perasaan Kak Fatim kadang kala terasa pelik dan kadang kala terasa menyesal apabila mengenangkannya. Ceritanya begini:

Pada penghujung tahun 1997, Kak Fatim menemani ibu ke Mekah bagi menunaikan umrah. Selain dari umrah, Kak Fatim juga berziarah di beberapa negara lain seperti Istanbul dan Dubai. Umur Kak Fatim ketika itu baharu menjangkau 24 tahun. Kak Fatim adalah peserta rombongan umrah yang kedua termuda ketika itu. Terdapat seorang lagi kanak-kanak bersama mengikuti rombongan kami.

Kak Fatim berziarah di Istanbul dan Dubai dahulu dan pada 10 hari terakhir rombongan kami di bawa ke Madinah dan Mekah. Semasa di Mekah, Kak Fatim ditempatkan di sebuah hotel berdekatan dengan Masjidil Haram. Jadinya, Kak Fatim tidak menghadapi masalah untuk berulang-alik ke Masjidil Haram. Di hotel inilah bermulanya cerita Kak Fatim.

Setiap kali Kak Fatim dan penghuni sebilik pulang dari masjidil haram, Kak Fatim dapati mereka sering membeli serbuk inai yang dijual di kaki lima kedai di sepanjang jalan menuju ke hotel kami. Semasa di bilik, mereka sibuk mengenakan inai berkenaan. Kak Fatim melihat sahaja kerana memang sejak dari kecil, Kak Fatim kurang berminat mengenakan inai di jari Kak Fatim. Pada suatu malam, kawan sebilik Kak Fatim bertanya,

"Fatimah tak beli inai ke? Kak tengok Fatimah tak beli langsung, kami sibuk beli inai. Tak nak cuba ke? Cantik tau?"

Kak Fatim hanya tersenyun dan membalas,

" Inai Mekah tak cantiklah kak. Inai Malaysia lagi merah, lagi terang, lagi cantik. Inai Mekah oren je.." Itulah balasan Kak Fatim dengan selamba.

Kira-kira 2 atau 3 hari sebelum kami pulang ke Malaysia., secara tiba-tiba timbul keinginan kak Fatim untuk membeli inai itu. Entah kenapa, Kak Fatim rasa teringin sangat. Sedangkan sebelum ini Kak Fatim langsung tidak berminat dengan inai itu. Kak Fatim pun merancang untuk membeli sedikit untuk di bawa pulang ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Haram, Kak Fatim ternampak ramai orang perempuan berkulit hitam berpurdah menjual inai di kaki lima kedai. Kak Fatim pun merancang untuk membeli semasa pulang dari masjid mengerjakan tawaf. Selesai mengerjakan tawaf dan sai, kak Fatim pun keluar dari masjid menuju ke hotel. Hairan, langsung tiada seorang pun penjual inai di sepanjang jalan itu. Sedangkan tadinya begitu ramai..

Kak Fatim meneruskan perjalanan menuju ke restoran yang menyediakan makanan kepada jemaah kami, alhamdulillah, terdapat seorang perempuan penjual inai di situ. Kak Fatim pun masuk ke dalam dan menjamu selera. Kak Fatim merancang untuk membelinya sesudah keluar dari restoran. Sesudah makan, Kak Fatim bergegas keluar mencarinya. Pelik, perempuan itu hilang begitu sahaja. 'Ah, mungkin dia sudah pulang. Kenapalah aku tak beli siap-siap tadi..."getus hati Kak Fatim.

Dengan langkah yang lemah Kak Fatim pun pulang ke hotel. Sepanjang jalan hinggalah ke tangga hotel, tiada kelihatan seorangpun penjual inai. Kak Fatim pun naik ke atas melepaskan lelah. Sambil itu Kak Fatim menjenguk keluar tingkap bilik hotel. Eh, ada penjual inai di luar puntu hotel, macam mana Kak Fatim boleh tidak perasan tadi??

Apalagi, Kak Fatim pun bergegas turun ke bawah secepat mungkin, mahu mengejar penjual inai itu. Sesampai di tangga hotel, perempuan itu tiada. Tiada!! Melilau mata Kak Fatim mencarinya. ajaib, sungguh ajaib. Dia telah hilang dalam sekelip mata...

Malam itu Kak Fatim keletihan dan mengadu kepada rakan sebilik Kak Fatim. Mereka semua kehairanan seraya berkata,

"Peliknya, kan ramai orang jual inai sepanjang jalan. Macam mana Fatimah boleh tak nampak? Yang pakai purdah dan berpakaian hitam duduk bersila dengan talam inai tu, penjual inailah tu.."

Ah, Kak Fatim yakin Allah SWT dah hijab pandangan Kak Fatim dari penjual inai, disebabkan luahan kata dari mulut Kak Fatim yang begitu celupar. Bukankah Kak Fatim ini tetamu Allah SWT. Tidak patut seorang tetamu mengeluarkan kenyataan begitu bukan?? Kak Fatim sungguh menyesal. Akhirnya Kak Fatim tidak dapat membeli inai sehinggalah pulang ke Malaysia.

Walaupun kisah ini kelihatan mudah dan remeh, namun bagi yang mahu mengambil ibrah, mereka tidak perlu kepada sesuatu yang sangat aneh, nyata dan hebat untuk mengambil pengajaran bahawa Allah mahu menyampaikan sesuatu kepada kita. Ya, Allah SWT sayangkan hambanya, dia mahu kita berfikir tentang apa yang kita lakukan seharian, apa yang kita rancangkan, apa keputusan yang kita ambil dan apa yang Dia taqdirkan bagi kita dan kita sepatutnya merenung sesuatu itu dan mengambil ibrah bahawa di sebalik apa yang berlaku itu, Allah SWT mahu menyampaikan sesuatu...

No comments:

Post a Comment