TAG META

Friday, October 8, 2010

3. Kisah Pengalaman Hidup Pelajarku - Pertama


Salam semua,

Hari ini Kak Fatim nak bercerita sedikit tentang pengalaman hidup salah seorang pelajar Kak Fatim. Kisah ini Kak Fatim dapat dari sesi pengenalan diri untuk kelas Pembangunan Diri di Kolej Komuniti tempat Kak Fatim bekerja sebelum Kak Fatim dipindahkan ke Kolej Komuniti sekarang. Sebenarnya ada banyak kisah yang boleh dijadikan iktibar, tentang pelajar kita dan sikap anak muda dewasa kini. Ada kalanya kita kurang faham kenapa mereka mengambil tindakan yang memedihkan hati kita. Kita mudah marah dan menganggap negatif kepada pelajar yang bermasalah. Namun jika sekiranya kita bersabar sedikit dan menunaikan hak mendengar, Insya Allah, Allah akan memberi kita kefahaman tentang sikap manusia dan memberi jalan untuk kita menangani setiap masalah. Sebenarnya bukan mudah untuk melentur buluh, terutamanya yang terbiar tumbuh tanpa penjagaan sempurna semasa rebungnya.

Haikal (bukan nama sebenar) seorang pemuda berdarah campuran Arab Melayu yang kacak yang boleh dikategorikan sebagai besar ragam. Anak muda ini berpeluang menyambung pelajaran di Kolej Komuniti di dalam satu bidang yang diminatinya. Beginilah ceritanya kepada Kak Fatim dan rakan sekelasnya yang menyebabkan kami terlopong sehingga tidak berkedip mata mendengarnya.

" Kejadian ini bermula ketika saya tamat menduduki peperiksaan SPM di sekolah saya. Semasa menunggu keputusan SPM, saya memohon pekerjaan di salah sebuah hypermarket berdekatan rumah saya. Tujuan asalnya adalah untuk menambah pengalaman dan mencari sedikit wang saku serta mengisi masa yang terluang. Saya memohon pekerjaan di situ bersama seorang rakan karib saya yang berasal dari sekolah yang sama.

Pada peringkat awal pekerjaan, segalanya berlalu dalam keadaan baik, namun setelah beberapa kali menerima wang gaji, kami mula berpaling arah dan keluar pada setiap malam, kononnya untuk menghilangkan kebosanan. Dengan wang gaji berkenaan, kami mengunjungi pusat-pusat hiburan, berpeleseran dan melakuan perbagai perbuatan yang menyalahi norma hidup seorang muslim.

Saya dan kawan mula mengunjungi kelab-kelab malam, pusat karaoke dan menghabiskan wang dengan melanggan perempuan-perempuan gro. Arak menjadi minuman ruji kami di sana. Kami langsung tidak merasa bersalah dan berdosa. Usia muda kami rasakan satu bonus untuk kami lakukan apa sahaja yang kami suka. Dalam keadaan mabuk, kami pulang dengan menunggang motosikal. Banyak kali berlaku di mana ketika saya menunggang motosikal, saya hilang ingatan dan apabila sedar, saya dapati saya berada di dalam longkang, melanggar tong sampah dan sebagainya, betapa hinanya saya pada ketika itu. Wang gaji yang diterima 2 minggu sekali dihabiskan untuk memperbaiki motosikal saya yang asyik rosak akibat kemalangan. Namun, Alhamdulillah, kemalangan itu tidak sampai menyebabkan saya masuk ke wad. Mungkin Allah masih sayang pada saya. Kawan-kawan di tempat kerja selalu marahkan saya dan hairan dengan keadaan motosikal yang asyik rosak itu.

Sehingga pada satu hari di bulan Ramadhan, ibu menggesa saya ke masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Ibu sebenarnya perasan akan keadaan saya yang berubah dan sering meninggalkan suruhan agama. Setelah puas dipujuk, saya akhirnya mengalah dan pergi juga ke masjid. Di pertengahan antara solat terawikh terdapat tazkirah. Ustaz yang dijemput menyampaikan tazkirah memperingati jemaah tentang kehidupan yang singkat dan kelalaian manusia menyedari hakikat kehidupan ini. Entah mengapa saya berasa begitu sedih sekali dengan tazkirah itu sehingga menitiskan air mata. Saya terfikir, sampai bilakah saya akan berterusan mensia-siakan hidup begini.

Namun resam anak muda, bila diajak keluar oleh kawan karib, sukar untuk mengelak diri. Lagi pula selepas tazkirah itu, tiada siapa yang terus membimbing. Saya teruskan aktiviti malam yang penuh lagho itu atas nama persahabatan.

Pada suatu hari, saya dan kawan karib berpeleseran di sekitan Persiaran Gurney. Hari sudah lewat malam. Dalam perjalanan pulang, kawan saya melakukan aksi merbahaya iaitu mengangkat tayar hadapan motorsikal di atas jalan berkenaan. Kebiasaan dia melakukan aksi ini tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, kali ini nasibnya malang. Mungkin ketentuan Allah sudah tiba. Motosikal yang ditunggangginya itu terangkat tinggi dan menyebabkan dia terjatuh ke atas jalan dan dihempap oleh motosikalnya sendiri. Saya yang berada di belakang terus memberhentikan motosikal. Keadaannya sangat teruk. Kepalanya pacah dan mengeluarkan isi tengkoraknya. Darah menyimbah penuh di atas jalan. Dia mengelupur lalu mati di hadapan mata saya. Tidak dapat di bayangkan perasaan saya ketika itu...

Paginya saya kerumah kawan saya itu untuk menantikan jenazahnya diuruskan sebelum dikebumikan. Di situlah saya mengalami sesuatu yang benar-benar memberi pengajaran kepada saya. Sudahlah kepedihan ditinggalkan rakan karib membungkam di dalam hati, berbagai masalah pula timbul. Jenazah sangat sukar diuruskan kerana ketiadaan orang untuk menguruskannya sehinggalah masa pengebumian menjadi begitu lewat. Tanah kubur yang dikorek digenangi air sehingga kami terpaksa berpindah di banyak tempat. Akhirnya setelah berjaya dikorek, orang ramai pun mula mengangkat jenazah kawan saya.

Baharu sahaja hendak keluar rumah, cuaca menjadi gelap secara tiba-tiba dan hujan turun cukup lebat. Kami menagguhkan perjalanan ke perkuburan. Namun, oleh kerana keadaan cuaca tidak menunjukkan tanda untuk reda, orang kampung menghantar juga ke tanah perkuburan dalam keadaan basah kuyup. Saya tidak ketinggalan mengikut sama. Sampai di tanah perkuburan, kami menurunkan jenazah ke dalam lubang yang digenangi air itu. Kami langsung menimbuskan jenazah di dalam hujan yang renyai-renyai itu. Semasa menimbus itulah, kesemua kami terdengar suara lembu di sembelih, betul-betul dari dalam kubur kawan karib saya. Kami berpandangan sesama sendiri dan melihat sekeliling kalau-kalau ada lembu di persekitaran, namun tiada yang kelihatan. Raungan itu begitu panjang dan penuh siksa. Masya Allah, saya tidak akan dapat melupakan saat itu.

Kini saya mencari sinar baru di Kolej Komuniti. Saya amat berharap agar perubahan diri saya ini kekal dan bertambah baik dari masa ke semasa. Mudah-mudahan kawan-kawan dapat menerima saya dan membantu ". Ujar beliau. Kami yang mendengar terlopong tidak bersuara. Sehinggalah tiba-tiba salah seorang pelajar lain mencelah, "Kalau dia tak cerita hari ini, kami pun tak tahu ini berlaku padanya".

Inilah kisah pelajar Kak Fatim yang kakak harap pembaca sekalian mengambil iktibar ke atasnya.

No comments:

Post a Comment